Pegawai eksekutif rugi lebih RM600,000 ditipu rakan

Iklan
Mangsa yang mempercayai suspek bersetuju meminjamkan wang dan menyertai pelaburan berkenaan dengan membuat pembayaran secara dalam talian. Foto hiasan

KULAI - Seorang pegawai eksekutif kerugian RM617,159 selepas dipercayai diperdaya kenalannya menerusi urusan pinjaman wang dan pelaburan saham dalam perniagaan aksesori kereta yang tidak wujud sejak 2022.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas gagal mendapatkan semula wang yang diserahkan kepada suspek yang dikenalinya sejak 2018.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mula meminta mangsa meminjamkan wang kepadanya pada 2022 sebelum menawarkan pelaburan saham dalam perniagaan aksesori kereta pada 22 Disember 2024 dengan menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 45 peratus dalam tempoh setahun.

"Mangsa yang mempercayai suspek bersetuju meminjamkan wang dan menyertai pelaburan berkenaan dengan membuat pembayaran secara dalam talian.

Iklan

"Secara keseluruhan, mangsa melakukan 72 transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank tempatan antara 30 November 2022 hingga 12 Mac 2026 membabitkan jumlah RM617,159,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Seng Lee berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pinjaman mahupun pelaburan, selain mendapati nombor telefonnya telah disekat oleh suspek.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. - Bernama