MELAKA - Enam penunggang motosikal cedera selepas dirempuh sebuah kereta Proton Wira yang hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Taming Sari, berhampiran Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Tengah, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.27 pagi itu, kesemua mangsa yang berusia antara 23 hingga 29 tahun mengalami pelbagai kecederaan, termasuk luka pada anggota badan, patah kaki yang disyaki serta kecederaan pada bahagian mulut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas dua buah kereta Proton Wira bergesel sebelum salah sebuah daripadanya hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Bandar Melaka menghala ke Lebuh AMJ, manakala enam motosikal berkenaan datang dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Wira dipercayai sedang menukar lorong dari kiri ke kanan sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi Proton Wira.
"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh enam motosikal terbabit," katanya.
Beliau berkata, semua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala kedua-dua pemandu kereta yang berusia 21 dan 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati mereka negatif dadah, manakala semua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam pada itu, polis turut menafikan dakwaan bahawa kedua-dua kereta Proton Wira berkenaan sedang berlumba sehingga menyebabkan kemalangan tersebut.