SHAH ALAM – Kerajaan disaran mempertimbangkan pengambilan doktor asing sebagai langkah jangka pendek bagi menangani kekurangan petugas kesihatan di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, keutamaan wajar diberikan kepada graduan perubatan antarabangsa yang menerima latihan di Malaysia susulan kegagalan sebahagian doktor baharu melaporkan diri untuk bertugas di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, kadar doktor yang gagal melapor diri bagi penempatan tetap di Sabah meningkat daripada dua peratus pada 2022 kepada 20 peratus pada 2023, sekitar 40 peratus pada 2025 dan 66 peratus bulan ini.
“Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melaporkan kadar kegagalan melapor diri antara 70 hingga 76 peratus bagi Sabah dan Sarawak secara keseluruhan.
“Ini bukan lagi satu tanda amaran. Ini adalah satu keadaan darurat,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 70 peratus pegawai perubatan gagal melaporkan diri bagi jawatan tetap di pelbagai hospital dan klinik kerajaan di Sabah dan Sarawak.
Menerusi hantaran di media sosial, beberapa doktor kerajaan turut melaporkan keadaan sama di hospital lain termasuk di Miri, Kapit, Keningau, Beluran, Sipitang, Kudat, Ranau dan Beaufort.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pengambilan doktor asing tidak seharusnya menjejaskan usaha kerajaan untuk menambah baik gaji serta prospek kerjaya doktor tempatan.
Tambahnya, kekurangan tenaga kerja itu turut memberi kesan kepada operasi beberapa hospital di Sabah dan Sarawak.
“Hospital Beluran tidak menerima doktor baharu dan kini hanya mempunyai enam doktor, manakala Hospital Kudat menerima empat daripada 17 doktor yang sepatutnya ditempatkan di situ.
“Hospital Sri Aman pula menerima enam daripada 20 doktor,” katanya.
Kelvin berkata, keadaan itu berbeza dengan Hospital Serdang di Selangor yang menerima 150 doktor baharu pada hari yang sama.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, angka rasmi mereka yang gagal melapor diri mungkin belum menggambarkan skala sebenar masalah kerana sebahagian pegawai perubatan terbabit tidak semestinya direkodkan sebagai telah meletakkan jawatan.
Sementara itu, Presiden MMA, Dr L Sivanaesan menggesa kerajaan mengkaji semula skim insentif bagi doktor yang ditempatkan di Malaysia Timur, termasuk mengembalikan bayaran insentif wilayah berasaskan peratusan.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan elaun perkhidmatan khas Malaysia Timur serta tempoh penempatan yang lebih sesuai bagi menarik lebih ramai doktor bertugas di Sabah dan Sarawak,” katanya.