BERA – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden provokasi dan menghalang tugas penguat kuasa ketika operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera, di Kampung Lubuk Tambangan dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 186 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu dan melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Zulkiflee, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 petang ketika pihak penguat kuasa yang diketuai Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
“Dalam kejadian tersebut, seorang orang awam cedera selepas dipercayai ditumbuk oleh seorang individu yang tidak dikenali.
“Ketika operasi dijalankan, pihak penguat kuasa UPNP turut menerima ugutan supaya tidak meneruskan operasi penguatkuasaan di kawasan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama dan tidak menghalang mana-mana agensi kerajaan daripada menjalankan tugas penguatkuasaan.