Sekolah wajib ada CCTV

Iklan
CCTV bukan sekadar alat merakam kejadian, tetapi boleh menjadi elemen pencegahan di sekolah. - Gambar hiasan

SEKOLAH sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak. Namun apabila berlaku kes jenayah berat di kawasan sekolah, persoalan keselamatan tidak lagi boleh dianggap perkara sampingan.

Kewajipan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah merupakan langkah yang tepat dan wajar disegerakan. CCTV bukan sekadar alat merakam kejadian, tetapi boleh menjadi elemen pencegahan, membantu pihak sekolah memantau pergerakan dan menjadi bahan bukti sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Iklan
Iklan

Namun, jangan sekadar berpuas hati kerana sekolah sudah mempunyai CCTV.

Ada kemungkinan kamera dipasang tetapi tidak berfungsi. Ada yang rosak dan belum dibaiki. Ada pula yang hanya meliputi kawasan tertentu, sedangkan lokasi seperti laluan belakang, tangga, kantin atau kawasan sunyi mungkin terlepas daripada pemantauan.

Iklan

Dalam soal keselamatan, ada tidak semestinya bermakna selamat.

Pihak sekolah dan kementerian berkaitan perlu melakukan audit menyeluruh terhadap sistem CCTV sedia ada. Jika tidak berfungsi, segera dibaiki. CCTV olok-olok sudah tidak relevan zaman ini. Jika liputan tidak mencukupi, tambah kamera. Jika sistem sudah usang, gantikan dengan teknologi lebih sesuai.

Iklan

Pada masa sama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu tampil lebih proaktif. Jangan hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan. PIBG boleh membantu mengenal pasti lokasi berisiko, menggerakkan sumbangan dan mencari penyelesaian bersama pihak sekolah.

Ibu bapa yang mempunyai kemampuan juga wajar membantu mengikut kemampuan masing-masing. Ini bukan soal menunjuk siapa lebih banyak menyumbang, tetapi soal memastikan keselamatan anak-anak.

Tidak wajar menunggu sehingga berlaku tragedi baru sibuk nak bertindak.

Anak-anak dihantar ke sekolah untuk belajar, bukan untuk berdepan ketakutan dan keganasan. Sekolah ialah tempat membina masa depan. Maka, keselamatan mesti menjadi tanggungjawab bersama dan keutamaan semua pihak. Paling penting semua perlu main tanggungjawab dan bukannya sibuk mahu tuding jari sahaja.