Pelajar Tingkatan Empat maut nahas babit tiga motosikal

Iklan
Ahmad Areesy Zafreen Ahmad Azhar maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

KUALA NERUS - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat maut manakala adik perempuannya cedera dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal di Jalan Sungai Buaya, Kampung Batin, Seberang Takir di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Ahmad Areesy Zafreen Ahmad Azhar maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian pada jam 5.10 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa, yang menunggang motosikal Modenas Kriss dari arah Kampung Batin menghala ke Seberang Takir, memotong sebuah kenderaan sebelum bergesel dengan motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.

"Dua penunggang motosikal itu cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan manakala adik perempuan mangsa yang membonceng motosikal turut dihantar ke hospital sama," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Azli berkata, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal itu dihantar ke Jabatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menasihati ibu bapa agar sentiasa peka dan mengawasi aktiviti serta memantau keselamatan anak-anak yang menunggang motosikal.- Bernama

Iklan