Padah uji kelajuan motosikal di jalan raya, dua penunggang kantoi tiada lesen dicekup JPJ

Iklan
Aksi berbahaya penunggang motosikal yang melakukan 'wheelie' di jalan raya dikesan dalam Operasi menerusi Ops Khas 42A. Foto JPJ Pahang

KUANTAN – Dua motosikal disita selepas penunggangnya disyaki terlibat dalam aktiviti menguji kelajuan yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain di sekitar Jalan Sultan Ismail dan Bandar Kuantan di sini.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, kedua-dua penunggang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mengambil bahagian dalam aktiviti menduga kelajuan di jalan raya.

Dua motosikal disita selepas Operasi menerusi Ops Khas 42A dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa JPJ Pahang. Foto JPJ Pahang

Iklan

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang terbabit turut melakukan beberapa kesalahan lain termasuk tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987.

"Mereka turut didapati menggunakan motosikal dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh mengikut Seksyen 23(1) serta tidak mempunyai perlindungan insurans seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 90(1) APJ 1987," jelas kenyataan berkenaan.

Iklan

Operasi menerusi Ops Khas 42A dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa JPJ Pahang dengan kekuatan 26 anggota dan diketuai Ketua Seksyen Operasi, Ahmad Zaki Yamani Bidin.

Sehubungan itu, JPJ Pahang menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menjadikan jalan raya sebagai tempat menguji kelajuan sehingga membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain.