SINGAPURA - Mahkamah Negeri Singapura pada Selasa mengenakan denda masing-masing SG$3.35 juta (S1=RM3.20) ke atas dua lelaki kerana mengimport lebih 4.5 juta liter diesel dari Malaysia tanpa pengisytiharan yang diperlukan, sekali gus mengelak duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menurut Kastam Singapura dalam kenyataan pada Selasa, warga Singapura Chua E Hong, 51, dan Ng Leok Kwee, 48, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengelak duti secara curang di bawah Akta Kastam.
Tuduhan itu melibatkan pengimportan 4,527,099 liter minyak diesel automotif antara April dan Disember 2024, dengan kira-kira SG$905,419 nilai duti dielakkan.
Mahkamah turut mengambil kira 16 pertuduhan lain semasa menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua lelaki itu iaitu terdiri daripada enam pertuduhan mengelak duti secara curang dan 10 pertuduhan mengelak GST secara curang. Jumlah duti dan GST terlibat adalah kira-kira SG$2,500,205.
Menurut Kastam, Chua dan Ng merangka skim untuk mendapatkan diesel yang lebih murah dari Malaysia dan mengimportnya ke Singapura tanpa mengisytiharkan import atau mendapatkan Permit Pelepasan Kargo yang diperlukan.
Diesel tanpa cukai itu kemudiannya dijual semula kepada pelanggan di Singapura untuk meningkatkan keuntungan CNC Petroleum Pte Ltd, yang mana Chua ialah pengarah urusan dan Ng sebagai pengarah eksekutif syarikat itu.
"Di bawah rancangan itu, CNC membeli diesel daripada terminal pembekal di Pengerang, Johor," menurut Kastam Singapura.
Menurut agensi itu, sebuah kapal mengumpul diesel dan mengangkutnya ke perairan wilayah Singapura, di mana ia dipindahkan di Selat Pauh Petroleum Anchorage ke dua kapal yang lebih kecil beberapa kali.
"Diesel itu kemudiannya diangkut ke Terminal Penjuru dan dipindahkan ke lori tangki untuk diedarkan kepada pelanggan di Singapura.
"Ng menyelaraskan penjadualan kapal dan trak tangki, serta pengumpulan dan pemindahan diesel," menurut Kastam.- Bernama