JAKARTA – Seorang wanita di Lumajang, Jawa Timur, Indonesia ditahan selepas disyaki membunuh anak kandungnya yang berusia dua tahun susulan pertengkaran dengan suaminya, lapor saluran berita Lambe Turah.
Ketua Polis Daerah Lumajang, AKBP Riki Yariandi berkata, suspek dikenali sebagai Surati dipercayai bertindak demikian akibat gagal mengawal kemarahan selepas berdepan konflik rumah tangga.
Menurutnya, pertengkaran dengan suami dipercayai menjadi pencetus kepada kejadian yang membabitkan anak mereka, dikenali dengan inisial IS.
“Tindakan suspek berpunca daripada masalah keluarga selepas berlaku pertengkaran dengan suaminya sehingga menyebabkan pelaku gagal mengawal emosi,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis turut menyiasat kemungkinan masalah kewangan menjadi antara faktor yang mencetuskan perselisihan faham dalam rumah tangga pasangan berkenaan.
Dalam kejadian Isnin lalu, suspek didakwa membawa anaknya yang sedang tidur keluar dari bilik sebelum menuju ke bahagian belakang rumah.
Suspek kemudian disyaki menyebabkan mangsa lemas di dalam sebuah baldi berisi air. Kejadian itu dilaporkan berlaku dalam tempoh kira-kira satu jam setengah.
Perbuatan tersebut terbongkar selepas kakak mangsa menjerit sehingga mengejutkan bapa kanak-kanak itu dan beberapa ahli keluarga lain yang sedang tidur di dalam bilik.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Tia Kusumawati berkata, kanak-kanak berkenaan ditemukan sudah meninggal dunia di dalam baldi tersebut.
Suspek dilaporkan cuba melarikan diri selepas kejadian itu diketahui ahli keluarga, namun berjaya ditahan polis tidak lama kemudian. – Agensi