Rakyat Malaysia ditahan di Laos, 521kg methamphetamine dirampas

Iklan
Polis merampas 521 kilogram methamphetamine kristal di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang dan menahan 13 individu. Sebuah jet peribadi turut dirampas untuk siasatan. Foto Lao Security Newspaper

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Laos selepas 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dirampas daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.

Penahanan rakyat Malaysia itu adalah sebahagian daripada 13 individu yang ditahan pihak berkuasa Laos kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Laos berhubung kes tersebut.

"Maklumat yang kita ada ketika ini ialah seorang daripada 13 individu yang ditahan merupakan warga Malaysia. Bagaimanapun, dia bukan individu yang menaiki penerbangan dari Subang ke Laos," katanya pada Selasa.

Iklan

Hussein

Sebelum ini, media melaporkan polis Laos merampas 521kg dadah jenis kristal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.

Iklan

Menurut laporan Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat yang diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.

Laporan itu menyebut polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan sebelum pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada jam 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.

Dalam operasi tersebut, polis menahan 13 individu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, beberapa pelancong asing, tiga pekerja syarikat dan tujuh kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.

Menurut laporan itu, siasatan mendapati jet peribadi berkenaan melakukan penerbangan dari Subang ke Laos, namun pesawat tersebut diterbangkan oleh juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia.

Hussein berkata, pihaknya turut menyiasat sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang juruterbang di Indonesia sebelum ini.

"Dalam siasatan, terlalu awal untuk kita membuat sebarang kesimpulan sama ada terdapat kaitan atau sebaliknya," katanya.