34 kilang digempur, lebih 500 PATI ditahan

Iklan
Seramai 1,702 warga asing diperiksa menerusi operasi bersepadu yang digerakkan JIM di seluruh negara sejak Rabu.

KLANG - Seramai 1,702 warga asing diperiksa menerusi operasi bersepadu yang digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas 34 kilang di seluruh negara sejak Rabu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta pihak berkuasa tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada jumlah pemeriksaan itu, JIM menahan 519 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan membabitkan pelbagai warganegara antaranya Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan China.

Iklan

"Selain itu, JIM turut mengeluarkan 42 borang saman saksi kepada majikan dan pemilik premis untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas Op Sasar di sebuah kilang di Meru di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Lokman memaklumkan statistik penguatkuasaan keseluruhan di seluruh negara sejak Januari lalu merekodkan 12,471 operasi dan 161,748 pemeriksaan individu.

Iklan

Katanya, statistik setakat 20 November juga merekodkan tangkapan 46,426 PATI.

"Ini menunjukkan kami sangat serius dan ikut perincian lebih 37 operasi dilaksanakan setiap hari. Tiada jam tanpa operasi dan kita tidak kompromi dengan mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan.

"Malah, lebih 2,000 majikan juga diambil tindakan selain 52,743 warga asing sudah diusir pulang ke negara asal," ujarnya.

Tegasnya, fokus penguatkuasaan bukan semata-mata kepada pekerja asing, tetapi turut merangkumi pihak yang menjadi punca atau memudahkan berlakunya pelanggaran undang-undang.

"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selain Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Orang ramai dan majikan diingatkan agar tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang," ujarnya.