Kilang paku kotor digempur, 71 pekerja warga asing ditahan

Iklan
Antara pekerja warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang memproses paku di Meru, Klang pada Jumaat.

KLANG - Keadaan sebuah kilang memproses paku di Meru di sini yang kotor, berlecak dan dipenuhi habuk sisa besi terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dilaksanakan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Iklan
Iklan

Sinar Harian yang mengikuti operasi berkenaan mendapati kilang terbabit beroperasi dalam beberapa bahagian pemprosesan dengan laluan tengah dipenuhi air lecak dan sisa paku bertaburan.

Keadaan sebuah kilang memproses paku di Meru, Klang yang tidak terurus dan kotor.

Iklan

Keadaan itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran tempat kerja, malah berisiko menyebabkan kecederaan kepada pekerja di premis berkenaan.

Malah, pemakaian pekerja asing terbabit juga dikatakan tidak mematuhi spesifikasi keselamatan.

Iklan

Keadaan sekitar sebuah kilang memproses paku di Meru, Klang yang diserbu pada Jumaat.

Pemeriksaan turut menemukan kawasan penempatan pekerja yang menempatkan beberapa bilik dengan katil dua tingkat, namun keadaan sekeliling tidak terurus, bersawang bahkan berbau dipercayai akibat pencemaran sisa daripada aktiviti kilang.

Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang warga asing turut dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat tembok premis berhampiran.

Keadaan bilik dipercayai didiami pekerja warga asing di sebuah kilang di Meru, Klang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, menerusi Op Sasar itu, pihaknya memeriksa 131 warga asing sebelum menahan 71 individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kesemua yang ditahan adalah lelaki terdiri daripada seorang warga Taiwan, 51 warga Bangladesh dan 19 warga Nepal.

"Antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Datuk Basri Othman.

Lokman menemu bual pekerja warga asing yang ditahan dalam Op Sasar pada Jumaat.

Lokman berkata, kesemua tangkapan akan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tangkapan akan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap JTKSM memaklumkan pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Seksyen 63A Akta Kerja 1955.