Kakak tiri Zara Qairina dakwa ada pihak cuba pengaruhi keterangannya

Iklan
Prosiding inkues kematian Zara Qairina bersambung semula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Selasa dengan mendengar keterangan kakak tiri Allahyarham, Malianah yang merupakan saksi ke-81.

KOTA KINABALU - Saksi ke-81 prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendakwa pernah ditemui beberapa individu daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mempengaruhinya supaya menukar keterangan atau tidak hadir ke Mahkamah Koroner.

Malianah Mahathir, 25, berkata, bagaimanapun individu terbabit tidak secara jelas memintanya menukar keterangan, sebaliknya menyampaikan perkara itu secara berkias menerusi pertemuan dan komunikasi dengannya.

Iklan
Iklan

"Saya berjumpa dengan beberapa orang NGO yang bapa bawa saya untuk berjumpa. Mereka tidaklah bercakap berdepan, 'Oh kau tukar kau punya keterangan', tidak. Cuma mereka berkiaslah. Sebab mereka berpihak kepada mama Zara," katanya.

Malianah berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili empat remaja lain yang dikaitkan dalam kes Zara Qairina pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner pada Selasa.

Iklan

Menjawab soalan lanjut mengenai maksud individu terbabit mahu beliau ‘mengubah’ keterangannya, Malianah berkata, beliau memahami perkara itu sebagai usaha supaya keterangannya tidak menyalahkan ibu Zara Qairina.

"Bukan mahu pusing, tapi mereka macam mahu keterangan saya ini tidak sampai menyalahkan mama Zara.

Iklan

"Tapi mereka tidak mengatakan 'kau kena cakap macam ini', tidaklah," jelasnya.

Malianah turut memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemahamannya, individu terbabit tidak mahu beliau membuka aib ibu Zara Qairina atau hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan.

"Apa yang saya faham, kalau boleh mereka tidak mahu menyalahkan mama Zara, membuka aib mama Zara. Kalau boleh mereka tidak mahu saya hadir di mahkamah. Lebih kurang macam itulah," katanya.

Ketika ditanya mengenai individu yang pernah ditemui atau berhubung dengannya, Malianah menamakan beberapa individu iaitu Ena Awil, Mona Din, Datuk Chin dan Joyce, dengan sebahagian daripada mereka diperkenalkan oleh bapanya.

Menurutnya, beliau pernah bertemu Ena Awil dan Datuk Chin, manakala komunikasi dengan beberapa individu lain berlaku menerusi telefon.

Malianah berkata, selepas pertemuan dengan Ena Awil, individu berkenaan menjadi tular sebelum menghubunginya beberapa kali menerusi telefon.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada seorang pegawai polis sebelum beliau dinasihatkan membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa.

Menjelaskan sebab laporan polis dibuat, Malianah berkata, Ena Awil berulang kali menghubunginya melalui telefon walaupun beliau meminta supaya sebarang perkara disampaikan menerusi WhatsApp.

"Sebab saya tidak jawab 'call' dia. Jadi dia mahu juga macam bercakap melalui telefon, dia tidak mahu WhatsApp. Saya sudah cakap WhatsApp sahaja tapi dia tidak mahu," katanya.

Malianah berkata, beberapa soalan yang dikemukakan kepadanya turut berkaitan keterangannya, sehingga menyebabkan beliau berasa terganggu.

"Saya diganggu, awal perbualan bertanyakan khabar. Lepas itu nanti ada soalan-soalan mengenai kenyataan saya. Sedangkan sebenarnya dia tidak layak pun untuk ambil tahu, dia tidak layak pun untuk mengetahui sebab dia bukan siapa-siapa pun dalam kes ini. Dia bukan orang yang berkepentingan untuk tahu. Jadi saya rasa perkara itu mengganggu," katanya.

Dalam prosiding sama, Malianah turut menjelaskan bahawa tangisannya ketika memberikan keterangan pada pagi Selasa, berkaitan pengalaman bersama ibu Zara Qairina sebelum ini berpunca daripada trauma yang masih diingatinya.

"Saya boleh ingat apa yang saya ceritakan ini sebab ini memori yang bagi trauma kepada saya. 

"Jadi bila saya kena menceritakan, trauma saya itu balik. Perkara itu 'trigger' ingatan saya yang membuatkan ibarat saya ada di dalam situasi itu balik," jelasnya.