Kerajaan digesa kembalikan semula kelayakan subsidi diesel lori roro

Iklan
Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri (tengah) pada Selasa.

PUTRAJAYA - Kerajaan digesa mengembalikan kelayakan subsidi diesel bagi lori Roll On Roll Off (roro) yang digunakan untuk mengutip dan mengangkut sisa, termasuk kenderaan yang terjejas akibat perubahan nama atau klasifikasi dalam Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

Pengerusi Persatuan Pengusaha Roll On Roll Off Bin Malaysia (PROBIN-M), Wan Mohd Zharif Wan Zulkiffeli berkata, sebahagian pengusaha kehilangan kelayakan subsidi selepas nama atau klasifikasi kenderaan dalam VOC berubah susulan pemeriksaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu berlaku walaupun fungsi kenderaan berkenaan tidak berubah dan masih digunakan untuk membawa tong roro serta mengutip dan mengangkut sisa dari kawasan komersial, perindustrian dan pembinaan.

"Fungsi kenderaan tidak berubah, kelayakan tidak wajar terpadam hanya kerana perubahan nama model dalam VOC," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada kerajaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini pada Selasa.

Iklan

Pada 23 Jun lalu, kerajaan mengumumkan mekanisme baharu subsidi diesel menerusi Program BUDI Diesel yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026.

Persatuan Pengusaha Roll On Roll Off Bin Malaysia (PROBIN-M) menyerahkan memorandum kepada kerajaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini pada Selasa.

Iklan

Kerajaan turut mengumumkan dua penambahbaikan bagi memperluas manfaat subsidi diesel kepada peniaga kecil serta menyemak kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Kelayakan subsidi melibatkan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama individu di bawah Program BUDI Diesel serta kenderaan syarikat pengangkutan barangan yang layak di bawah SKDS.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengumuman mengenai perluasan subsidi diesel berjadual kepada kategori kenderaan lain.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zharif berkata, pihaknya mendapati wujud perbezaan kelayakan subsidi bagi lori yang menjalankan fungsi pengurusan sisa yang sama.

Menurutnya, kenderaan yang masih direkodkan sebagai Lori Rigid Sampah berpotensi menerima subsidi diesel, manakala lori yang klasifikasinya dikemas kini kepada Lori Roll On Roll Off tidak lagi layak.

"Masalah ini bukan berpunca daripada perubahan fungsi operasi kenderaan, sebaliknya ketidakselarasan klasifikasi dan rekod pentadbiran antara agensi berkaitan.

"Pengusaha yang mematuhi proses pemeriksaan dan pengemaskinian rekod tidak sepatutnya dihukum apabila perubahan istilah dalam VOC menyebabkan mereka hilang kelayakan subsidi," katanya.

Beliau berkata, kehilangan subsidi berkenaan meningkatkan kos perjalanan dan kutipan harian, selain memberi tekanan kepada aliran tunai pengusaha yang terikat dengan kontrak sedia ada.

Katanya, peningkatan kos operasi yang berterusan juga berpotensi menjejaskan kelancaran kutipan sisa, sekali gus memberi kesan kepada kontraktor, peniaga, sektor industri dan pengguna.

"Isu ini bukan hanya mengenai kos pengusaha, jika operasi kutipan terganggu, ia boleh memberi kesan kepada kebersihan awam, kesihatan masyarakat dan imej negara," katanya.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri.

Turut hadir pengasas yang juga Setiausaha PROBIN-M, V Jvines.

Dalam memorandum berkenaan, PROBIN-M turut meminta kerajaan mengenakan moratorium terhadap penolakan permohonan yang berpunca semata-mata daripada ketidakpadanan istilah serta menyelaraskan data dan kod antara Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan agensi berkaitan.

Persatuan itu juga mencadangkan satu mekanisme rayuan pantas diwujudkan, selain meminta kes terdahulu yang ditolak atau dihentikan akibat perubahan klasifikasi disemak semula.

PROBIN-M turut meminta kerajaan memberikan maklum balas bertulis serta mengambil tindakan awal dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas memorandum berkenaan diterima.