Wanita maut digilis kereta

Iklan
Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain sebelum tercampak dan digilis kereta dalam kemalangan.

SEPANG - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain sebelum tercampak dan digilis kereta dalam kemalangan di Jalan Sepang/Salak di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa berusia 19 tahun yang juga pekerja di ladang penternakan lembu di kawasan Sepang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kemalangan terbabit melibatkan dua motosikal jenis Honda C100 masing-masing berwarna biru dan hitam serta Proton Saga Iswara berwarna kelabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal Honda C100 berwarna hitam yang ditunggang lelaki warga India berusia 30-an sedang bergerak dari arah Sungai Pelek menghala Nilai.

Iklan

"Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal terbabit dipercayai bertembung dengan motosikal Honda C100 berwarna biru yang bergerak melawan arus di lorong kiri laluan sama.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dan jatuh di lorong kanan sebelum dipercayai digilis Proton Saga Iswara yang sedang bergerak terus di lorong berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Norhizam berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan.

"Semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal Honda C100 berwarna hitam pula mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Cyberjaya oleh ambulans Klinik Kesihatan Salak untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, lelaki warga India itu bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan dan turut tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Pemandu Proton Saga Iswara pula merupakan lelaki tempatan berusia 20an yang bekerja sebagai supervisor F&B dan mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh," katanya.

Norhizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Tambahnya, saksi atau individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-5588221 atau 03-87774264, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.