JAKARTA – Indonesia perlu terus berwaspada terhadap kebakaran hutan dan tanah walaupun jumlah titik panas menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.
Kumpulan alam sekitar memberi amaran bahawa keadaan itu tidak seharusnya dianggap sebagai petanda bahawa ancaman kebakaran telah berakhir ketika negara berdepan cuaca panas dan kering akibat fenomena super El Nino.
Data Kementerian Kehutanan berdasarkan sistem SiPongi menunjukkan 527 titik panas dikesan pada Ahad berbanding 666 titik sehari sebelumnya.
Walaupun berlaku penurunan, pihak berkuasa mengingatkan bahawa jumlah titik panas tidak semestinya menggambarkan jumlah sebenar kawasan yang terbakar. Pemeriksaan di lapangan masih diperlukan bagi menentukan keadaan sebenar dan tahap kebakaran.
Di Palembang, Sumatera Selatan, bacaan indeks pencemaran udara dilaporkan mencecah paras amat tinggi iaitu sehingga 1,000, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk.
Indonesia kini berdepan antara kebakaran hutan paling serius dalam tempoh 11 tahun dengan kebakaran dan jerebu turut menjejaskan kesihatan penduduk serta menyebabkan pencemaran udara merentasi sempadan ke Singapura dan Malaysia yang kembali merekodkan paras tidak sihat.
Menurut kumpulan perlindungan tanah gambut, Pantau Gambut, penurunan jumlah titik panas tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar kebakaran kerana kebakaran tanah gambut mempunyai ciri yang berbeza berbanding kebakaran di tanah mineral.
Kebakaran gambut boleh merebak di bawah permukaan melalui bahan organik yang terbakar secara perlahan. Keadaan itu menyebabkan bara boleh kekal tersembunyi dan kembali marak walaupun api di permukaan telah berjaya dikawal.
Pantau Gambut turut memberi amaran bahawa daripada kira-kira 16 juta daripada 24 juta hektar kawasan tanah gambut di Indonesia terdedah kepada kebakaran akibat kerosakan ekosistem termasuk penebangan hutan secara meluas.
Kajian kumpulan itu juga mendapati hanya sekitar tiga peratus kawasan tanah gambut yang rosak akibat kebakaran antara 2015 hingga 2019 telah dipulihkan menjadi hutan. - Agensi