WELLINGTON - Pembantu juruterbang Flydubai yang menikam kapten dalam cubaan yang didakwa bertujuan menjatuhkan pesawat minggu lalu pernah berada di New Zealand selama tujuh tahun lalu bagi menjalani sebahagian latihan penerbangan untuk sebuah syarikat berpusat di United Kingdom (UK) yang kini tidak lagi beroperasi di negara itu, menurut kenyataan polis New Zealand pada Selasa.
Rekod imigresen menunjukkan dia berada di Wellington antara November 2018 hingga Mei 2019 dengan visa pelajar selama enam bulan.
Pihak berkuasa kini meneliti rekod dan menjalankan siasatan lanjut berhubung 'aktiviti' lelaki berkenaan sepanjang berada di New Zealand.
Siasatan awal Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapati pembantu juruterbang penerbangan Flydubai FZ1073 dari Dubai ke Israel itu dilaporkan menyerang kapten menggunakan kapak kecemasan sebelum ditahan.
Pendakwa raya di Abu Dhabi menyifatkan kejadian tersebut sebagai 'serangan pengganas' selepas dia dikaitkan dengan fahaman radikal.
Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi tentang identiti pembantu juruterbang tersebut meskipun beberapa sumber mendedahkan dia merupakan warga Oman berketurunan Syria dikenali sebagai Hamam al-Hammami.
Pihak berkuasa Abu Dhabi dan Flydubai juga terus merahsiakan butiran diri pembantu juruterbang berkenaan kepada umum hingga mencetuskan pelbagai spekulasi tentang kejadian tersebut yang didakwa sebagai sebahagian operasi false flag Israel. - Agensi