PUTRAJAYA - Sebuah pusat peranginan yang tidak lagi beroperasi di Sungai Lembing, Pahang, didakwa telah dijadikan pusat panggilan penipuan yang beroperasi 24 jam, dengan anggota sindiket warga asing tinggal serta bekerja di premis tersebut mengikut sistem syif dan sasaran.
Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan 95 warga asing dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata, operasi bermula kira-kira jam 12.50 tengah hari itu dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Seramai 95 warga asing dipercayai ahli sindiket penipuan ditahan, terdiri daripada 84 lelaki dan empat wanita warga China, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Myanmar serta seorang wanita dari Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia.
"Seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik pusat peranginan berkenaan serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai bekerja di premis tersebut turut ditahan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Menurutnya, operasi itu turut mendapat kerjasama pegawai JIM Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun. Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat warga asing dan tempatan yang cuba bersembunyi serta melarikan diri, namun mereka berjaya diberkas pasukan operasi.
"Pasukan operasi menyita 49 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia serta satu Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia (SPLP)," katanya.
Zakaria berkata, turut disita 100 telefon bimbit, 120 set komputer meja, satu set kamera litar tertutup, sembilan bungkus kad SIM yang belum digunakan serta wang tunai RM5,000.
"Sebanyak 11 set peralatan Starlink yang dipercayai digunakan sebagai talian Internet untuk kegiatan tersebut turut disita," katanya.
Zakaria berkata, pemeriksaan turut mendapati sindiket berkenaan menggunakan generator sebagai sumber bekalan tenaga bagi menjalankan operasi mereka.
"Ahli sindiket dibayar gaji sebanyak RM3,000 sebulan, namun sekiranya tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, pendapatan mereka akan dipotong. Sasaran mangsa pula di China," katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menggunakan pusat peranginan yang telah ditutup bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Sindiket disyaki telah beroperasi sejak tiga bulan lalu itu menyewa premis berkenaan RM30,000 sebulan dan dipercayai berpindah-randah dari satu negara ke negara lain selain beroperasi selama 24 jam sehari, dengan ahli sindiket dipercayai bekerja secara syif," katanya.
Beliau berkata, seramai 42 lelaki dan dua wanita warga China, seorang lelaki dan seorang wanita Myanmar, seorang wanita Hong Kong serta seorang wanita Indonesia ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Seramai 41 lelaki dan tiga wanita warga China serta seorang wanita Rusia pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Seorang lelaki warga China dan seorang wanita warga Kemboja ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
"Dua lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Zakaria berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"JIM komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.