KUANTAN - Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah bilik sewa, di sini selepas dipercayai berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.32 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara dia dan teman wanitanya.
“Setiba di lokasi, pihak polis menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil dalam sebuah bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ashari berkata, pemeriksaan Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
Beliau menambah susulan itu, lelaki terbabit ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan dan perintah reman selama tujuh hari diperoleh bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan,” katanya.