Guru, pelajar cemas sekolah terbakar

Iklan
Sesi persekolahan kira-kira 130 murid di sebuah sekolah agama di Ayer Molek di sini, kucar-kacir selepas bilik guru wanita sekolah berkenaan terbakar dalam kejadian pagi Selasa.

MELAKA - Sesi persekolahan kira-kira 130 murid di sebuah sekolah agama di Ayer Molek di sini, kucar-kacir selepas bilik guru wanita sekolah berkenaan terbakar dalam kejadian pagi Selasa.

Guru sekolah berkenaan, Ghazali Jabar berkata, kejadian disedari sekitar jam 7 pagi ketika sebahagian murid baru tiba di sekolah manakala sebahagian lagi sudah berada di dalam kelas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak guru telah mengarahkan semua murid berkumpul di padang selepas melihat kepulan asap dari bahagian belakang sekolah.

"Tiada bunyi letupan, cuma saya nampak kepulan asap di belakang sekolah dan apabila diperiksa, rupanya bilik guru wanita sudah berasap.

Iklan

"Saya tidak berani pergi dekat dan terus menghubungi bomba kerana bimbang api merebak," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kebakaran hanya melibatkan satu blok yang menempatkan bilik guru wanita, namun bekalan elektrik di kawasan terbabit terpaksa diputuskan atas faktor keselamatan.

Iklan

Katanya, keadaan itu turut menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana pihak sekolah masih menunggu pemeriksaan serta kerja-kerja pendawaian elektrik bagi memastikan bangunan lain boleh digunakan seperti biasa.

Ujarnya, keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan memandangkan murid akan menghadapi beberapa peperiksaan dalam masa terdekat, termasuk peperiksaan akhir tahun yang dijadualkan pada 19 dan 20 Oktober ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.21 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil tiba di lokasi pada jam 7.35 pagi.

Katanya, kebakaran melibatkan sebuah bangunan sekolah jenis kekal berkeluasan kira-kira 40 x 200 kaki persegi dengan bilik guru dan peralatan di dalamnya terbakar kira-kira 15 peratus.

"Operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.01 pagi.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.37 pagi," katanya.

Beliau berkata, seramai lima anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan, manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.