JIKA benar New Age Movement (NAM) sedang menyusup masuk ke dalam masyarakat terutamanya umat Islam di Malaysia, persoalan yang lebih penting sekarang bukan sahaja siapa yang terlibat, tetapi mengapa tindakan tegas tidak dilaksanakan pihak berkuasa?
Unsur NAM dikatakan berselindung di sebalik istilah yang begitu ‘manis’ seperti healing, spiritual, energy, aura, manifestasi dan pembangunan diri.
Nama nampak moden dan bunyinya pula seolah-olah saintifik serta menenangkan jiwa, akan tetapi di sinilah bahayanya.
Masyarakat yang tidak mempunyai asas pengetahuan agama yang kukuh mungkin menyangka semua yang menggunakan istilah ‘kerohanian’ itu selamat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman baru-baru ini menjelaskan, program atau amalan yang mempunyai unsur kerohanian perlu diteliti secara menyeluruh dan tidak hanya dinilai berdasarkan nama atau penampilan luaran.
Menurutnya, terdapat kecenderungan sesetengah pihak menggabungkan amalan spiritual NAM dengan selawat, zikir atau ungkapan keagamaan Islam sehingga ia kelihatan seolah-olah selari dengan ajaran Islam.
Begitu juga Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil yang menjelaskan sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan Sunnah perlu dipandang serius.
Jangan sampai kerana mahu kelihatan moden, kita akhirnya menggadaikan prinsip. Jangan juga hanya bertindak selepas sesuatu perkara tular.
Kalau benar ada program, modul atau penceramah yang membawa unsur bercanggah dengan akidah, mengapa perlu menunggu masyarakat sendiri yang ‘menangkap’ dahulu sebelum pihak berkuasa agama bergerak?
Jangan tunggu NAM berakar tunjang baru mahu mencabut. Masyarakat perlu diberikan ilmu, bukan sekadar amaran.
Penceramah dan pengendali program perlu dipantau, bukan hanya apabila kontroversi tercetus. Kandungan digital juga perlu diperbetulkan, bukan sekadar dikecam selepas tular.
Akidah umat bukan bahan percubaan. Jangan tunggu rosak!