KUALA LUMPUR - Zetrix AI Bhd kini dalam perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyelesaikan isu berhubung penggantungan sementara perkhidmatannya kepada jabatan itu yang berkuat kuasa hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat itu mengesahkan bahawa perkhidmatannya kepada JPJ digantung sementara berkuat kuasa pada 5 Oktober 2026.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Penggantungan MYEG: 'Yang tak bayar syarikat, yang diminta letak jawatan menteri' - Anthony Loke
Pada 2 Oktober, lepas, JPJ mengumumkan bahawa perkhidmatan yang disediakan oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan akan digantung mulai jam 12.01 tengah malam pada 5 Oktober.
Zetrix AI memaklumkan pihaknya akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.
Menurut syarikat itu, penjelasan berkenaan dibuat susulan laporan berita yang disiarkan The Edge Malaysia serta notis JPJ, kedua-duanya bertarikh 2 Oktober 2026.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan menggantung perkhidmatan syarikat itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta kewajipan yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.
Beliau berkata, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan menerusi saluran Kumpulan MYEG akan digantung, manakala perkhidmatan jabatan itu akan terus beroperasi seperti biasa menerusi saluran rasmi dan alternatif. - Bernama