KUALA LUMPUR – Perpindahan ibu pejabat SME Corp Malaysia ke Menara AIA Cap Square membolehkan agensi itu menjimatkan kos sewaan sebanyak RM17 juta setahun.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, penjimatan itu turut diunjurkan mencecah kira-kira RM500 juta dalam tempoh 30 tahun akan datang.
“Daripada sudut kewangan, perpindahan ibu pejabat ini membolehkan SME Corp Malaysia mengurangkan kos sewaan dan melakukan penjimatan sebanyak RM17 juta setahun serta setengah bilion ringgit untuk tempoh 30 tahun akan datang.
“Perbelanjaan berhemah ini merupakan sebahagian usaha reformasi tatakelola yang baik di bawah Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ibu pejabat baharu agensi berkenaan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhannya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.
Mengulas lanjut, Steven turut melancarkan Program Pelaburan PKS yang menyasarkan pelaburan sekurang-kurangnya RM90 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpotensi tinggi.
Menerusi program itu, SME Corp Malaysia bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), OSK Ventures International Berhad dan Hartamodal Sdn Bhd bagi memperluas pilihan pembiayaan dan mengurangkan kebergantungan PKS kepada pinjaman bank.
“KUSKOP akan melaksanakan Pelan Tindakan SCALE 2027 yang menggariskan lima fokus strategik bagi memperkasa ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Lima fokus berkenaan merangkumi penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, kecerdasan buatan (AI) untuk PMKS, keperluan kandungan tempatan dan mempermudah pembiayaan PMKS,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi SME Corp Malaysia, Teng Chang Khim berkata, perpindahan itu melambangkan permulaan fasa baharu yang selari dengan tawaran nilai agensi berkenaan untuk memperkasa PKS supaya berkembang dan berdaya saing melalui hubungan antara inisiatif, pengetahuan serta peluang.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, ibu pejabat baharu itu menempatkan kira-kira 260 kakitangan menerusi penyatuan 12 bahagian dan tiga unit di bawah satu bumbung.
Langkah itu memperkukuh peranan SME Corp Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) dalam memastikan dasar berkaitan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dilaksanakan dengan berkesan.