India roboh penempatan Rohingya di Jammu

Iklan
Operasi perobohan dilakukan pada Sabtu lalu. Foto: Agensi

JAMMU – Pihak berkuasa di Jammu merobohkan hampir sedozen pondok, kebanyakannya didiami keluarga Rohingya, dalam operasi baharu terhadap pencerobohan tanah hutan di pinggir bandar itu.

Operasi dijalankan pada Sabtu lalu di Rahim Nagar, dalam kawasan Hutan Raika, oleh Jabatan Perhutanan dengan bantuan Pasukan Perlindungan Hutan, pegawai hasil dan polis.

Iklan
Iklan

Pegawai berkata struktur berkenaan dibina secara haram di kawasan seluas kira-kira lima hektar dan menegaskan tindakan itu tidak menyasarkan mana-mana komuniti tertentu.

Menurut pihak berkuasa, penghuni telah diberi dua kali amaran dalam tempoh dua minggu serta peluang mengalihkan barangan sebelum perobohan dilakukan.

Iklan

Wanita dan kanak-kanak turut dipindahkan ke lokasi selamat dengan bantuan anggota polis wanita.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk mempertikaikan dakwaan bahawa notis mencukupi telah diberikan.

Iklan

Seorang penduduk tempatan, Stephen berkata, dia tidak menerima notis awal dan hanya diberi masa singkat untuk mengambil barangannya sebelum struktur yang didiaminya sejak lebih sedekad lalu dirobohkan.

Keluarga Rohingya pula berkata mereka telah menetap di kawasan itu hampir 20 tahun selepas melarikan diri daripada penganiayaan dan ketidakstabilan di Myanmar.

“Kami melarikan diri daripada penindasan di negara sendiri dan berlindung di sini kerana terpaksa. Kami bukan mahu tinggal secara kekal,” kata seorang penduduk Rohingya, Abdul Khaliq, menurut The Print.

Tindakan terbaharu itu menyusuli perobohan penempatan Rohingya di Karyani Talab bulan lalu.

Data kerajaan menunjukkan seramai 7,656 Rohingya dikenal pasti di seluruh Jammu dan Kashmir, dengan 6,737 berada di wilayah Jammu dan 919 di Kashmir.

Jabatan Perhutanan memaklumkan tindakan lanjut akan diteruskan terhadap pencerobohan lain yang dikenal pasti. - Agensi