Dua beradik dakwa dibuli rakan, ditampar guru

Iklan
Noor Azwani menunjukkan gambar kecederaan dialami anaknya yang didakwa dibuli rakan di sekolah terbabit.

IPOH - Seorang ibu mendakwa dua anak lelakinya masing-masing menjadi mangsa buli dan kekerasan membabitkan pelajar serta guru di sebuah sekolah di Chemor di sini.

Noor Azwani Ahamad, 43, berkata, laporan polis pertama dibuat pada 4 Ogos lalu membabitkan anak sulungnya manakala laporan kedua dibuat pada 6 Ogos lalu membabitkan anak keduanya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas berasakan tiada tindakan memuaskan berhubung laporan berkenaan, laporan polis berkaitan kedua-dua anaknya dibuat semula pada 3 Oktober lalu.

Katanya, kejadian yang berlaku menyebabkan anak keduanya terpaksa keluar dari asrama pada Ogos lalu dan kini berulang-alik ke sekolah kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Iklan

"Saya ibu tunggal dan bekerja, jadi memang sukar untuk saya berulang-alik menghantar anak ke sekolah. Namun, saya terpaksa berbuat demikian kerana bimbang kejadian sama berulang memandangkan pelajar yang didakwa membuli dan guru terbabit masih berada di sekolah tersebut.

Kedua-dua anak Noor Azwani menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat berkaitan kejadian yang menimpa masing-masing.

Iklan

"Sidang media ini saya buat kerana mahu menuntut keadilan buat anak-anak saya. Saya berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan keselamatan serta kebajikan anak-anak saya diberikan perhatian," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Noor Azwani yang mengendalikan pusat penilaian amali mendakwa anak lelakinya berusia 18 tahun ditampar sebanyak enam kali oleh seorang guru pada 21 Julai lalu sehingga menyebabkan kesakitan dan kecederaan pada rahang.

Menurutnya, kejadian didakwa berlaku selepas guru berkenaan mendapati remaja itu membawa telefon bimbit ke sekolah.

"Anak saya beritahu dia ditampar sebanyak enam kali oleh guru berkenaan. Akibatnya rahang dia sakit dan tidak boleh menjawab soalan peperiksaan.

"Apabila dia menjalani pemeriksaan, doktor memberitahu rahangnya beralih," katanya.

Noor Azwani berkata, anak keduanya, 17, pula didakwa dipukul seorang pelajar lelaki di asrama kira-kira jam 11 malam pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, kejadian bermula apabila berlaku perselisihan faham selepas seorang pelajar lain hendak menggunting rambut anaknya tanpa persetujuan.

Katanya, telah berlaku pertengkaran di antara anaknya dengan pelajar itu sebelum anaknya mengambil silinder pemadam api untuk mempertahankan diri sebelum ditumbuk pada bahagian leher dan muka.

Noor Azwani berkata, akibat pergelutan itu, anaknya mengalami kecederaan pada muka dan mulut selepas terkena silinder pemadam api.

Jelasnya, selepas kejadian itu, satu pertemuan diadakan antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar terbabit, namun tiada tindakan sewajarnya diambil pihak berkaitan.

Menurutnya, situasi berkenaan menyebabkan kedua-dua anaknya mengalami tekanan dan trauma serta bimbang untuk kembali ke sekolah kerana perlu berhadapan dengan individu yang didakwa terbabit.

"Saya cuma mahu keselamatan dan kebajikan anak-anak saya dijaga. Saya berharap siasatan dapat dijalankan secara adil terhadap semua pihak yang terbabit.

"Tindakan perundangan juga sedang dipertimbangkan terhadap pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Sementara itu, firma Tetuan Syukran Nordin yang mewakili keluarga berkenaan memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa pihaknya akan memfailkan saman sivil terhadap beberapa pihak.

Menurutnya, saman sivil itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh dalam masa terdekat untuk mendapatkan pampasan gantirugi kecederaan dan kerugian akibat kejadian serius yang menimpa kedua-dua anak wanita berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, mengesahkan laporan polis berhubung kejadian berkenaan telah dibuat.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.