KUALA LUMPUR - Sekolah yang menjadi lokasi kes bunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di Yong Peng, Johor, mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun kemudahan itu tidak dipasang di tempat kejadian berlaku.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan segera termasuk menambah baik sistem CCTV sedia ada serta memastikan peralatan yang rosak diperbaiki bagi meningkatkan aspek keselamatan di sekolah.
"Jadi kita sedang tambah baik, akan ambil tindakan terus. Mana-mana sekolah yang telah mempunyai CCTV yang tidak berfungsi, sila maklumkan kepada KPM untuk ditambah baik," katanya pada sidang media di banguna Parlimen pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah
Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara
Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco
Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan
Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini
Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari
Irene Sofiya maut dibunuh: Polis rampas telefon bimbit, pakaian suspek
Remaja berusia 16 tahun itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.
Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, KPM juga telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan dan keselamatan di sekolah berkenaan, termasuk kawalan keluar masuk, rondaan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), fungsi CCTV serta pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.
Beliau menegaskan, sekiranya didapati berlaku pelanggaran kontrak atau kecuaian oleh syarikat kawalan keselamatan, tindakan sewajarnya boleh diambil termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak.
Sementara itum beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berhubung kes berkenaan, termasuk dakwaan bahawa mangsa diseret dari surau ke lokasi kejadian atau berlaku kerosakan di surau sekolah.
"Ada dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau. Ini semua tidak benar.
"Jadi saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu. Kita sedang bercakap tentang seorang anak yang telah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan.
"Jadi, jangan kita menambah luka dengan spekulasi," ujarnya.