DHAKA – Tentera Laut Bangladesh menyelamatkan 65 migran yang dipercayai cuba dibawa secara haram ke Malaysia melalui laut, selain menahan 11 individu disyaki anggota sindiket pemerdagangan manusia.
Operasi menyelamat dilakukan pada malam Rabu ketika rondaan rutin berhampiran Saint Martin, menurut kenyataan Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR).
Kapal BNS Khalid Bin Walid memintas bot kayu berkenaan selepas mengesannya hanyut kira-kira 81 batu nautika dari Rumah Api Saint Martin.
Bot nelayan itu kemudian dihampiri kapal terbabit serta memaklumkan bahawa enjin bot mereka rosak kepada tentera laut.
Anggota tentera laut kemudian menyelamatkan kesemua 76 individu, mengeluarkan air yang memasuki bot bagi mengelakkannya karam serta memberikan rawatan awal, makanan dan bantuan kemanusiaan.
Hasil soal siasat awal mendapati 11 daripada mereka dipercayai anggota sindiket pemerdagangan manusia, manakala baki 65 dikenal pasti sebagai mangsa yang dijanjikan perjalanan ke Malaysia.
Kebanyakan mangsa didakwa diculik dan ditahan di kawasan terpencil di Teknaf, Cox’s Bazar sebelum dibawa melalui laut.
Kesemua suspek serta bot yang dirampas diserahkan kepada Balai Polis Teknaf untuk tindakan lanjut.
Tentera Laut Bangladesh berkata rondaan dan operasi maritim akan diteruskan bagi membanteras pemerdagangan manusia, penyeludupan serta kegiatan haram di perairan negara itu. - Agensi