WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) memindahkan pesawat pengebom B-1 miliknya dari sebuah pangkalan tentera udara di Britain, seminggu selepas beberapa lelaki ditahan kerana disyaki merancang melakukan keganasan, lapor CBC.
Pegawai Pentagon mengesahkan kira-kira 12 pesawat pengebom B-1 yang ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford, barat laut London, kini telah dihantar pulang ke pangkalan masing-masing di AS.
Jurucakap Pentagon berkata, pergerakan aset dan anggota tentera AS tidak dapat disahkan secara langsung atas faktor keselamatan operasi.
"Namun, kami boleh mengesahkan bahawa semua pesawat pengebom AS yang ditempatkan di RAF Fairford telah kembali ke pangkalan asal mereka di Amerika Syarikat,” katanya pada Ahad.
Pesawat berkenaan sebelum ini digunakan dalam serangan AS terhadap Iran.
Sebelum ini, polis Britain menahan lima lelaki berhampiran pangkalan udara berkenaan pada Ahad kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan bahan letupan dan keganasan.
Penahanan itu dibuat selepas polis menerima maklumat mengenai tiga van yang dipercayai bergerak menuju RAF Fairford, pangkalan yang pernah digunakan dalam operasi serangan terhadap Iran.
RAF Fairford terletak di barat England dan menjadi antara pangkalan penting yang digunakan tentera AS bagi operasi penempatan serta sokongan aset ketenteraan strategik.