PENASIHAT Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini menyentuh isu gaji dengan berharap majikan melihat struktur gaji keseluruhan pekerja, bukan hanya gaji minimum pekerja baharu yang bakal diumumkan.
Beliau memberi contoh, jika pekerja baharu menerima gaji RM1,700, pekerja lama yang menerima RM1,800 juga wajar diberi kenaikan.
Hakikatnya, perkara ini berlaku di banyak syarikat apabila kenaikan gaji minimum memberi manfaat terus kepada pekerja baharu, tetapi boleh menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan pekerja lama apabila jurang gaji semakin kecil.
Sedangkan berdasarkan pengalaman, pekerja lama sudah tentu lebih mahir dalam bidang pekerjaan tersebut. Mereka memahami selok-belok tugas, prosedur kerja dan budaya organisasi dengan lebih mendalam.
Malah, sebagai pekerja senior, mereka juga sering dipertanggungjawabkan membimbing dan mengajar pekerja baharu yang gajinya tidak jauh berbeza.
Keadaan ini boleh menjejaskan motivasi pekerja lama jika mereka merasakan pengalaman dan kesetiaan mereka kepada syarikat tidak dihargai sewajarnya.
Walaupun kenaikan gaji minimum bertujuan meningkatkan taraf hidup pekerja, pelaksanaannya perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
Hakikatnya, segala bil yang perlu dibayar adalah sama. Harga barang, kos pengangkutan, sewa rumah dan perbelanjaan harian tidak membezakan sama ada seseorang itu pekerja baharu atau pekerja lama.
Justeru, pekerja yang mempunyai pengalaman dan tempoh perkhidmatan lebih panjang sewajarnya menerima ganjaran yang lebih setimpal.
Oleh itu, jika penstrukturan gaji dibuat untuk menarik pekerja baharu, ia perlulah meliputi semua pekerja dan mengambil kira faktor pengalaman, pendidikan, kemahiran serta tempoh perkhidmatan.
Dengan cara itu, setiap pekerja akan merasakan sumbangan mereka dihargai dan diberikan ganjaran yang setimpal. Pendek kata, tidak ada yang tertinggal.
Majikan perlu melihat isu ini sebagai satu pelaburan terhadap modal insan. Pekerja yang berpengalaman merupakan aset penting sesebuah organisasi.
Jika pekerja baharu diraikan dengan kadar gaji yang lebih baik, pekerja lama juga wajar diberikan pengiktirafan yang setara dengan pengalaman dan nilai yang mereka bawa.