KOTA BHARU - Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok kini dipantau bagi mengelak risiko jangkitan rabies.
Ibunya, Rosnani Mat Salleh, 46, berkata, Azuar Firdaus Zuraiman menerima suntikan vaksinasi anti-rabies selain turut diberikan antibiotik selepas menjalani prosedur mencuci luka dan jahitan di kepala serta leher yang mengambil masa kira-kira lima jam susulan serangan itu.
Menurutnya, keadaan Azuar Firdaus selama dua hari selepas insiden serangan itu hanya menangis dalam wad dan mengadu takut bagaimanapun kini lebih baik serta sudah boleh bercakap seperti biasa.
“Sekarang dia sudah boleh jawab apabila ditanya dan ceritakan semula apa yang berlaku.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi Khamis lalu, Azuar Firdaus diserang sekumpulan anjing ketika bermain pasir bersama lima saudaranya di kawasan pantai berkenaan.
Murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tawang itu mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit di bahagian kepala dan leher selain kecederaan pada belakang badan dan lengan.
Mangsa melarikan diri sebelum terjatuh dan diserang beberapa ekor anjing terbabit sehingga ke dalam pantai sebelum seorang pekerja resort berhampiran datang membantu menghalau haiwan berkenaan.
Dia kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Balai, Bachok oleh bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, sebelum dirujuk ke HRPZ II di sini untuk rawatan lanjut.
Kata Rosnani, kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan memandangkan kewujudan anjing liar di kawasan pantai tersebut bukan perkara baharu.
“Anjingi ni dah lama di situ, lebih 10 ekor berkeliaran di sekitar kawasan pantai terutama dekat tong sampah,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa menerima lawatan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Kelantan, Norazam Mat Nor dan Guru Besar SK Tawang, Mohamed Fhadhil Hassan.
Norazan berkata, kunjungan beliau mewakili Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad sebagai tanda keprihatinan atas kejadian malang yang menimpa murid berkenaan.
Katanya, pihak JPN sedia memberikan bantuan yang diperlukan termasuk membabitkan pembelajaran murid berkenaan sekiranya dia perlu ditempatkan di hospital dalam beberapa tempoh.
"Bergantung kepada prosedur hospital tapi dimaklumkan mangsa boleh keluar wad hari ini bagaimanapun tengok pada keputusan nanti," katanya.