KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Terengganu meminta kerajaan negeri bersama agensi berkaitan supaya memperhalusi mekanisme kelulusan, kawal selia serta penguatkuasaan bagi penganjuran acara permotoran berskala besar di negeri itu.
Naib Presiden Kebangsaan (Timur) MTPN yang juga Yang Dipertua MTPN Negeri Terengganu, Datuk Ts Is Mohd Faiz Zulkifli berkata, gesaan itu dibuat susulan pelbagai reaksi dan kebimbangan masyarakat terhadap tingkah laku segelintir peserta serta penunggang di jalan raya bersempena penganjuran acara permotoran, termasuk perhimpunan EX5 baru-baru ini.
Menurutnya, penganjuran program permotoran pada asasnya mempunyai nilai positif kerana mampu menghimpunkan komuniti peminat, menarik pelancong luar serta memberikan limpahan ekonomi kepada peniaga, pengusaha makanan, industri inap desa dan sektor pelancongan tempatan.
Bagaimanapun, katanya, manfaat tersebut harus diseimbangkan dengan aspek keselamatan, hak pengguna jalan raya serta ketenteraman awam.
Beliau berkata, MTPN Terengganu melahirkan kebimbangan apabila terdapat penunggang, khususnya golongan muda, bertindak menunggang secara melulu, melakukan aksi berbahaya, memecut atau menjadikan jalan awam seolah-olah litar perlumbaan.
Jelasnya, perbuatan segelintir individu itu tidak wajar dibiarkan mencemarkan imej majoriti komuniti permotoran yang mematuhi undang-undang serta berisiko kepada keluarga, warga emas, kanak-kanak dan pekerja lain di atas jalan raya.
"Sebagai langkah penyelesaian, MTPN Terengganu mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan garis panduan khusus menerusi penyelarasan menyeluruh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi keselamatan dan penganjur.
"Antara elemen yang wajar diperhalusi merangkumi pelan pengurusan trafik yang teratur, kawalan laluan keluar masuk peserta, pemantauan ketat di lokasi panas, serta penetapan syarat keselamatan yang jelas kepada penganjur dan peserta.
"Selain itu, pelaksanaan kempen kesedaran sebelum acara serta tindakan penguatkuasaan yang lebih tersusun terhadap individu yang menunggang secara berbahaya turut ditekankan,"ujarnya.
Menurutnya lagi, penganjur juga perlu mengambil tanggungjawab lebih besar yang tidak hanya tertumpu di dalam tapak program, sebaliknya merangkumi aspek pergerakan peserta di luar kawasan yang memberi impak kepada jalan raya dan masyarakat sekitar demi perancangan pengurusan risiko yang menyeluruh.
Jelasnya, MTPN Terengganu bersedia mengemukakan pandangan dari sudut kepenggunaan dan keselamatan awam dalam sebarang sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan demi memastikan budaya permotoran dapat berkembang secara matang dan dihormati masyarakat.
"Kita tidak gesa agar aktiviti permotoran dihentikan, sebaliknya mahu acara sebegini diangkat dengan lebih profesional, tersusun, selamat dan mencerminkan imej positif kepada negeri ini.
"Jadi, satu mekanisme yang lebih jelas perlu diwujudkan segera bagi memastikan setiap acara berskala besar dilengkapi ukuran risiko, pelan keselamatan dan akauntabiliti yang bersesuaian," katanya.