SUNGAI PETANI - Kehilangan seorang warga emas yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaannya di Jalan Lubuk Segintah–Lubuk Kawah di sini akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan pada pagi Ahad.
Jasad Mat Yusof Hashim, 77, dari Jalan Masjid, Felda Teloi Timur itu ditemukan pada jam 9.15 pagi, kira-kira 50 hingga 100 meter dari lokasi kereta jenis Proton Wira berwarna kuning miliknya ditemukan.
Mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian sebuah kereta terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai.
Sebelum ini, media melaporkan seorang warga emas dipercayai terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaannya dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu kereta Proton Wira berwarna kuning dari arah Jalan Kuala Ketil menghala ke Felda Teloi Timur sebelum kenderaannya terbabas dan terjatuh ke dalam sungai.
Menurut Hanyan, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan.
Tindakan pantas orang awam yang menghubungi polis, termasuk pemilik video yang merakam kejadian turut membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat awal berhubung insiden itu.