THANLYIN – Seramai 1,476 migran Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia tiba di Myanmar pada Ahad, selepas tiga kapal Tentera Laut negara itu berlabuh di pangkalan tentera laut Thanlyin.
Seorang pegawai Tentera Laut Myanmar berkata, kesemua kapal berkenaan tiba sebelum jam 7.30 pagi waktu tempatan.
Pegawai itu tidak dinamakan kerana tidak diberi kebenaran bercakap kepada media.
Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat ratusan ahli keluarga berkumpul sejak awal pagi di luar pangkalan berkenaan bagi menunggu kepulangan saudara-mara mereka.
Kereta, teksi dan bas turut berbaris di kawasan itu bagi membawa pulang migran selepas selesai proses ketibaan.
Seorang penduduk, Kyaw Myint, 55, berkata, dia datang untuk menjemput tiga cucunya yang berada dalam tahanan di Malaysia selama kira-kira setahun setengah.
Dia berkata sudah enam tahun tidak bertemu mereka.
“Sejak mereka dimasukkan ke penjara, kami terputus hubungan,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, Kyaw Myint berkata dia bimbang cucunya berdepan risiko kerahan tenaga selepas kembali ke Myanmar.
“Bukan sahaja oleh tentera, malah kumpulan bersenjata etnik juga,” katanya.
Rohingya mungkin turut terlibat
Terdapat juga kebimbangan bahawa anggota komuniti Rohingya mungkin termasuk dalam kumpulan yang tiba itu, namun perkara berkenaan belum disahkan.
Tiga kapal Tentera Laut Myanmar berlepas dari Malaysia pada Selasa lalu membawa 1,476 migran terbabit.
Mereka merupakan kumpulan pertama daripada kira-kira 5,000 orang yang menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipersetujui Myanmar untuk diterima semula.
Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keadaan di Myanmar yang masih dilanda perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 menimbulkan persoalan mengenai keselamatan mereka yang dihantar pulang.
Seorang wanita berusia 25 tahun yang adiknya termasuk dalam kumpulan berkenaan berkata, keluarganya tidak tahu bagaimana kehidupan lelaki itu selepas kembali ke Myanmar.
“Kebimbangan utama kami ialah keselamatannya selepas tiba,” katanya kepada AFP dari Malaysia.
Wanita itu meminta identitinya dirahsiakan atas faktor keselamatan selepas terputus hubungan dengan adiknya sebelum kapal berlepas.
Menurut laporan media, kumpulan itu merangkumi 27 kanak-kanak, 79 wanita dan 1,370 lelaki dewasa.
Rohingya membentuk sebahagian besar daripada pelarian dan pencari suaka Myanmar di Malaysia.
Namun Kuala Lumpur belum memberi maklum balas kepada pertanyaan AFP mengenai jumlah Rohingya yang mungkin termasuk dalam kumpulan tersebut.
Kumpulan kedua bakal dihantar
Malaysia kini dilaporkan merancang penghantaran pulang kumpulan kedua melibatkan lebih 3,500 migran.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini berkata kehadiran migran memberi beban kewangan kepada negara selain mencetuskan isu sosial dan keselamatan.
Pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing pula dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia bagi membincangkan skim penghantaran pulang tersebut.
Myanmar bulan lalu memberi jaminan bahawa proses kepulangan akan dilakukan secara 'selamat dan bermaruah'. - Agensi