SHAH ALAM - Selepas isu kesesakan pengangkutan mencetuskan keluhan pada hari pertama, pengurusan penonton Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu dilihat lebih teratur.
Keadaan itu dapat dilihat menerusi pengurusan barisan dan perkhidmatan bas perantara yang mendapat maklum balas positif daripada penonton ketika menuju ke lokasi perlumbaan.
Pengguna Threads, @edadoodle berkata, barisan bergerak pantas dengan jumlah bas yang mencukupi, selain kakitangan membantu mengarahkan penonton dari stesen Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Transit ke lokasi bas ulang-alik.
“Saya beratur pada jam 9.15 pagi dan sudah dalam perjalanan ke @sepangcircuit pada jam 9.25 pagi,” tulisnya.
Pengurusan perkhidmatan KLIA Ekspres, RapidKL dan KLIA2 turut menerima pujian pengguna Threads, @miraeago yang menyifatkan penyelarasan barisan bas ulang-alik berjalan lancar.
Terdahulu, penonton F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 dilapor berdepan kesukaran mendapatkan bas perantara selepas tamat hari pertama perlumbaan sehingga terpaksa menunggu berjam-jam dan berebut untuk mendapatkan pengangkutan keluar dari kawasan litar.
Malah, sebahagian penonton dilihat sanggup berjalan kaki sehingga hampir 18 kilometer kerana tidak lagi sanggup menunggu dalam kesesakan dan berebut menaiki bas yang disediakan.
Media sebelum ini turut melaporkan Rapid KL akan menyediakan sebanyak 95 bas bagi perkhidmatan bas perantara khas secara ulang-alik sempena perlumbaan GP Bahrain, yang berlangsung hingga esok.
Perkhidmatan bas perantara khas ke SIC disediakan dari HUB Bas Aras 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2; HUB Bas, Mitsui KLIA dan De-Village, Persiaran Miilenia 2, Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Seorang lagi pengguna Threads, @pancakechin pula berkata, tindakan tegas petugas memastikan barisan lebih teratur dan cubaan memotong giliran tidak berjaya.
“Syabas kepada marshal. Semua yang cuba potong barisan, hari ini memang tak berjaya,” kongsinya.
Selain itu, @1093.fics turut memuji tindakan pengawal keselamatan yang menegur individu yang cuba memotong barisan.
“Sejujurnya baguslah, akhirnya orang beratur dengan betul. Pengawal keselamatan marah mereka yang cuba potong barisan,” tulisnya.
@woshidakache pula memaklumkan dia mula beratur pada jam 7.33 pagi dan mendapati keadaan pada Sabtu jauh lebih baik berbanding hari sebelumnya.
Bagaimanapun, perhatian penonton kini turut terarah kepada perjalanan pulang selepas tamat perlumbaan, mengambil kira masalah yang berlaku pada hari pertama F1 GP Gulf Air Bahrain 2026.
Kata @nrezrina, perjalanan ke SIC pada Jumaat juga berjalan lancar namun masalah timbul ketika penonton meninggalkan kawasan litar.
Pandangan sama dikongsikan @itsmeann.91 yang menyifatkan perjalanan ke lokasi pada hari pertama tidak begitu huru-hara, sebaliknya masalah berlaku ketika perjalanan pulang.