KUALA LUMPUR - Tempoh penahanan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia berhubung siasatan kes penyeludupan dadah dilanjutkan selepas selesai menjalani tempoh tahanan awal selama 60 hari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kini ditahan mengikut perintah mahkamah untuk tempoh 30 hari lagi.
Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Direktorat Jenayah Narkotik Polis Indonesia.
"Pihak polis (Malaysia) dimaklumkan oleh pihak berkuasa narkotik Indonesia. Kes ini masih dalam peringkat siasatan dan penilaian.
Media sebelum ini melaporkan, seorang juruterbang warga tempatan berusia 39 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Julai lalu berhubung kes berkenaan.
Dalam tangkapan itu, pihak berkuasa Indonesia merampas 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul yang disyaki pil ekstasi dan methamphetamine dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram (kg).
Kes itu disiasat secara bersama pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia susulan dakwaan pembabitan kakitangan syarikat penerbangan Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah.
Sementara itu, Hussein berkata, tempoh penahanan berkenaan juga boleh dilanjutkan untuk 30 hari lagi mengikut proses perundangan di Indonesia.
"Tempoh ini boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi," katanya.
Beliau berkata, seorang lagi juruterbang serta enam individu lain yang ditahan di Malaysia kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan dikenakan perintah tahanan selama 60 hari mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.