KAFA Sabah gegar pentas nasyid kebangsaan

Iklan
Mat Bali (tiga dari kanan) bersama pelajar KAFA Sabah bakal menggegarkan pentas menerusi Festival Nasyid Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Agama (MIISRA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-12 di Selangor.

KOTA KINABALU - Sekumpulan pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sabah bakal menggegarkan pentas menerusi Festival Nasyid Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Agama (MIISRA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-12.

Kontinjen KAFA Sabah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kira-kira jam 11 pagi Sabtu, untuk menyertai festival yang berlangsung di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor, hingga Rabu depan.

Iklan
Iklan

Kontinjen seramai 24 orang itu diketuai Penolong Pengarah Kanan Unit KAFA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Cawangan Sabah, Ustazah Rina Ardiani Rahmadji, bersama dua pembantu pegawai, empat Guru KAFA dan 17 peserta bagi kategori lelaki dan perempuan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Guru dan Penyelia KAFA Sabah, Mohd Nasry Masih, turut menyampaikan sumbangan wang saku daripada pihak persatuan kepada peserta dan guru pengiring.

Iklan

Menurutnya, sumbangan berkenaan diberikan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kontinjen KAFA Sabah yang membawa nama negeri ke pertandingan itu.

"Semoga seluruh Kontinjen KAFA Sabah dipermudahkan segala urusan, diberikan kesihatan dan kekuatan serta mampu memberikan persembahan yang terbaik.

Iklan

"Selamat berjuang dan semoga kejayaan menjadi milik Kontinjen KAFA Sabah di pentas MIISRA Peringkat Kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Matbali Musah, turut hadir memberikan sokongan dan menghulurkan sumbangan kepada kontinjen berkenaan.

"Diharap kontinjen KAFA Sabah akan mencipta kejayaan yang membanggakan untuk negeri ini di pentas MIISRA nanti," katanya yang turut memberi sumbangan kepada kontinjen tersebut.

Turut hadir mengiringi keberangkatan kontinjen ialah Pengarah Jakim Sabah, Dr Baharudin Othman, yang menyampaikan amanat serta kata-kata semangat kepada peserta.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya sentiasa bersemangat, menjaga disiplin dan memberikan persembahan terbaik sepanjang menyertai pertandingan berkenaan.