SHAH ALAM - 'Ia bukan sekadar detik yang dirakam, malah satu kenangan yang akan sentiasa saya bawa bersama'.
Itu luahan ahli fisioterapi, Choo Zhang Hui, 31, atau lebih dikenali sebagai Kevin Choo, ketika mengenang kesempatan berada bersama Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Menurutnya, detik yang dirakam bersama Allahyarham bukan sekadar satu momen untuk dikenang, sebaliknya menjadi memori yang akan dibawanya sepanjang hayat.
"Tun Hasmah ialah insan yang amat saya hormati dan kagumi.
"Mendapat penghormatan untuk berada di sana, serta berkongsi walaupun sebahagian kecil daripada perjalanan hidup beliau, merupakan sesuatu yang akan sentiasa saya hargai.
"Ada detik yang menjadi kenangan, dan ada kenangan yang kekal terpahat di hati buat selama-lamanya," tulisnya dalam menerusi platform di Threads pada Sabtu.
Sebelum ini, Kevin bersama Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Institut Jantung Negara (IJN), Dr Iskandar Mirza Amran, 40, dan ketua jururawat, K Divya Barathy, 30, menjadi tumpuan berikutan tugas mereka menjaga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pengebumian Allahyarham, Selasa lalu.
Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang meninggalkan komen penghargaan terhadapnya dalam menjalankan tugas bersama Tun Hasmah dan Tun M.
Seorang pengguna, dato.azman merakamkan penghargaan dan menyifatkan Kevin sebagai seorang yang mempunyai hati yang ikhlas, rasa tanggungjawab tinggi serta benar-benar mencintai profesionnya.
"Daripada perspektif profesional, saya dapat melihat bahawa anda mempunyai hati yang ikhlas, rasa tanggungjawab yang tinggi dan paling penting, anda benar-benar mencintai apa yang anda lakukan,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya serta berharap Kevin terus memberikan perhatian dan menjaga insan di sekelilingnya seperti beliau menjaga pesakit.
"Dedikasi, belas kasihan dan semangat anda benar-benar membawa perubahan. Semoga anda terus memberi inspirasi kepada orang lain melalui profesion dan hati yang anda curahkan dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya.
Sementara itu, pengguna, jiay81 dalam ruangan komen berkata, dia dapat merasakan hubungan Dr Kevin dengan Tun Dr Mahathir dan Tun Hasmah bukan sekadar sebagai pesakit, sebaliknya lebih seperti sebuah keluarga.
“Saya dapat rasakan Tun M dan Tun Hasmah lebih daripada sekadar pesakit kepada anda. Mereka lebih seperti keluarga.
"Terima kasih kerana menjaga mereka dan kini jagalah Tun M dalam waktu sukar ini. Terus kuat,” katanya.