Media bantu kerajaan salur isu rakyat, tingkat kecekapan tindakan

Iklan
Hampir 30 pengamal media daripada pelbagai agensi media cetak, digital dan elektronik memeriahkan Program Jom Memancing YB Sandrea bersama Media Perak 2026 di Ipoh pada Sabtu.

IPOH - Peranan media sebagai ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan dilihat banyak membantu mempercepatkan tindakan penambahbaikan terutama berkaitan isu rakyat, kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng.

Beliau berkata, pengamal media memainkan peranan besar dalam mengetengahkan masalah seperti kebersihan, penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam kerana ia melibatkan isu harian rakyat.

Iklan
Iklan

“Isu sampah, longkang, lampu jalan, rumput, pasar dan sebagainya ini semua perkara yang rakyat nampak setiap hari.

"Media yang sentiasa menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan akan membantu kita mengambil tindakan dengan lebih cepat," katanya ketika berucap dalam Program Jom Memancing YB Sandrea bersama Media Perak 2026 di sini pada Sabtu.

Iklan

Program disertai hampir 30 pengamal media daripada pelbagai agensi media cetak, digital dan elektronik itu turut dihadiri, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Sandrea berkata, peranan pengamal media semakin penting ketika landskap penyampaian maklumat kini berdepan pelbagai cabaran termasuk lambakan maklumat dan penularan berita tidak tepat.

Iklan

Katanya, terdapat isu yang kompleks dan memerlukan penjelasan terperinci, namun masyarakat kini cenderung menerima maklumat secara ringkas sehingga boleh mengundang salah tafsir.

"Kadang-kadang satu ayat, satu tajuk atau satu gambar yang tular boleh membentuk persepsi yang tidak menggambarkan keadaan sebenar," katanya.

Menurutnya, dalam situasi itu pengamal media bukan sahaja perlu bergerak pantas mendapatkan maklumat, malah memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat dan mudah difahami masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menghargai komitmen pengamal media yang terus membantu menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat selain membangkitkan isu yang memerlukan perhatian pihak berwajib.

"Sehari banyak program yang perlu dihadiri, maklumat perlu dicari dan dilaporkan. Bukan sahaja cepat, tetapi ketepatan itu sangat penting.

"Inilah satu cabaran besar kepada pengamal media ketika ini,” katanya.