GOPENG - Seluas 296.5 hektar kawasan tanaman padi di daerah Kerian terjejas akibat banjir membabitkan kerugian sebanyak RM259,734 sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, jumlah berkenaan yang melibatkan 205 petani merupakan anggaran awal hasil bancian yang dijalankan dua minggu lalu.
Menurutnya, data tersebut dijangka meningkat berikutan beberapa kawasan lain termasuk Hilir Perak dan Seberang Perak turut mula mengalami kesan banjir.
"Kita masih dalam proses bancian, ada kemungkinan jumlah itu bertambah atau berkurang bergantung kepada hasil bancian kerana sekarang kita masih dalam tempoh MTL.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Junior Food Security Innovation Challenge (J-SInC) 2026 dan Pelancaran Buku Hijau di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Isnin.
Program anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dengan penyertaan dari 24 sekolah seluruh negeri.
Norsiyenti mengingatkan pesawah yang terjejas akibat banjir, segera menghubungi Pejabat Pertanian berhampiran atau Ibu Pejabat Jabatan Pertanian menerusi nombor bilik gerakan yang telah diwar-warkan melalui platform media sosial jabatan.
Katanya, laporan awal membolehkan pihak jabatan mengenal pasti kawasan terjejas, menjalankan penilaian kerosakan dan membantu pesawah mengemukakan permohonan Tabung Bencana Tanaman Padi.
"Ketika ini, musim penanaman padi di Kerian baru memasuki peringkat awal iaitu antara tujuh hingga 26 hari selepas tanam. Tanaman pada peringkat ini boleh musnah sekiranya tenggelam akibat banjir," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Tabung Bencana pada tahun lalu merekodkan 406 petani dan pesawah menerima bantuan RM1.028 juta membabitkan kemusnahan tanaman seluas 458.68 hektar.
Menurutnya, bayaran bantuan berkenaan telah selesai disalurkan kepada penerima melalui akaun masing-masing setakat 31 Disember lalu.
"Tabung bencana ini tidak hanya kepada pesawah, petani yang mengalami kemusnahan tanaman akibat serangan haiwan liar seperti gajah juga boleh membuat laporan.
"Jabatan Pertanian akan membantu membuat pengesahan dan sokongan terhadap permohonan sebelum dibawa untuk pertimbangan serta kelulusan di peringkat negeri," katanya.