Banjir: Tiada sekolah di Perak terjejas, ditutup - Exco

Iklan
Khairudin (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Pelancaran Buku Hijau sempena Program Junior Food Security Innovation Challenge (J-SInC) 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng pada Isnin.

GOPENG - Tiada sekolah di Perak terjejas teruk meskipun keadaan banjir di negeri ini semakin memburuk ketika persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 23 November ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, setakat ini tiada sekolah ditutup atau dicadangkan untuk berbuat demikian berikutan banjir yang melanda beberapa daerah sejak dua minggu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua sekolah yang dikenal pasti berisiko banjir diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Op Payung.

"Saya minta sekolah terlibat sentiasa merujuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan langkah ditetapkan menerusi Op Payung dapat dilaksanakan dengan baik.

Iklan

"Dalam Op Payung itu telah dinyatakan apa tindakan, prosedur dan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya pusat peperiksaan tidak dapat digunakan atau calon menghadapi masalah untuk hadir akibat kediaman ditenggelami banjir dan laluan terputus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Junior Food Security Innovation Challenge (J-SInC) 2026 dan Pelancaran Buku Hijau di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Isnin.

Iklan

Program anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama Jabatan Pertanian Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) itu membabitkan penyertaan dari 24 sekolah seluruh negeri.

Situasi banjir di Perak terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 1,204 orang daripada 436 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam Isnin.

Daerah yang terjejas teruk ialah Larut Matang Selama (LMS) diikuti Hilir Perak, Kerian dan Manjung.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, JPN sentiasa melakukan pemantauan rapi situasi banjir bersama agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba dan polis.

"Seperti yang berlaku hari ini di SMK Simpang, apabila sebuah bilik makmal dimasuki air dan tidak dapat digunakan untuk ujian amali, pihak sekolah mengambil tindakan memindahkan pelaksanaan ujian ke makmal lain.

"Pelajar yang kediamannya terjejas banjir juga dibantu APM, polis dan bomba bagi membolehkan mereka mengikuti ujian amali itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penyertaan sekolah dalam Pertandingan Inovasi Agro dan Laman Dapur menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Menurutnya, perkembangan itu membuktikan bidang pertanian semakin mendapat perhatian sebagai satu bentuk pembelajaran luar bilik darjah yang mampu merangsang minat serta kreativiti murid.

"Kita mahu membuka ruang kepada generasi muda untuk melihat pertanian sebagai bidang yang berpotensi memberikan pulangan dan pendapatan sekiranya diceburi dengan ilmu serta pendekatan teknologi yang betul," katanya.

Pada program itu, sebanyak 2,620 kit Buku Hijau mula diedarkan sebagai usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan konsep 'Tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam'.

Inisiatif berkenaan turut menyasarkan sekolah, isi rumah dan komuniti bagi meningkatkan pengeluaran makanan sendiri sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup.