IPOH - Pemasangan bonggol jalan atau jalur kuning antara cadangan dikemukakan penduduk bagi meningkatkan keselamatan di Jalan Perpaduan berhampiran Taman Perpaduan Ria, Tambun susulan kemalangan maut yang meragut nyawa dua beradik pada Jumaat.
Ketua Kampung Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 5 dan 6, Tambun, Sezali Shariff berkata, pihaknya telah mengambil langkah segera mengadakan perbincangan bersama penghulu dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mendapatkan tindakan lanjut.
Menurutnya, cadangan lain termasuk pemasangan papan tanda amaran kawasan kemalangan bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.
"Saya telah mencadangkan perkara ini sejak awal tahun lagi kerana laluan tersebut berisiko tinggi kepada pengguna jalan raya, terutama melibatkan pelajar sekolah dan ibu bapa yang mengambil anak.
"Keadaan jalan yang sibuk sering menyebabkan pergeseran kenderaan termasuk motosikal, malah beberapa kes kecederaan turut dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, dalam tempoh tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya empat kematian dilaporkan berlaku di lokasi berkenaan.
Tambahnya, laluan tersebut walaupun sehala, namun keadaan sempit dan kesesakan sering berlaku di laluan tersebut khususnya waktu puncak persekolahan menyebabkan kenderaan sering berselisih dan berlaku pergeseran.
"Di kawasan ini juga terdapat banyak taman perumahan selain deretan rumah kedai di kiri dan kanan jalan yang menyumbang kepada aliran trafik tinggi setiap hari," katanya.
Sezali berharap cadangan yang dikemukakan itu dapat disegerakan oleh pihak berwajib demi keselamatan penduduk setempat dan mengelakkan kejadian sama berulang.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan perjalanan tiga beradik ke sekolah berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi.
Mangsa, Elyana Nasuha Ibrahim, 19, bersama adik perempuannya, Suhaila, 10, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi, Norhayati Qaliesha, 12, mengalami kecederaan parah.
Ketika kejadian, Elyana Nasuha yang merupakan pekerja swasta dalam perjalanan menghantar dua adiknya itu ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan.