Jual bayi berusia sebulan demi beli telefon bimbit dan rantai emas

Iklan
Ibu bayi berkenaan tidak menyangka laporan polis yang dibuat akhirnya mendedahkan perbuatan jenayah mereka. Foto: Agensi

MUMBAI -Sepasang kekasih di India tergamak menjual bayi lelaki berusia sebulan semata-mata untuk membeli telefon bimbit dan rantai emas.

Pihak berkuasa telah menahan pasangan itu dan menyelamatkan bayi berkenaan di Hyderabad terletak kira-kira 550 kilometer dari Chhatrapati Sambhajinagar. Beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam urus niaga tersebut turut diberkas.

Iklan
Iklan

Kes itu terbongkar pada 20 September lalu apabila ibu bayi berkenaan membuat laporan polis mendakwa dirinya dipukul. Ketika siasatan dijalankan, polis mendapati pasangan itu rupa-rupanya telah menjual bayi lelaki mereka.

Lebih mengejutkan, bayi berkenaan bertukar tangan sebanyak empat kali sebelum diselamatkan di Hyderabad. Menurut polis, pasangan tersebut menetap di kawasan Mukundwadi, Chhatrapati Sambhajinagar sebelum menjual bayi itu kepada seorang perantara dikenali sebagai Seema Reshwal pada harga 120,000 rupee (RM5,100).

Iklan

Bayi tersebut kemudiannya dijual kepada Sangeeta Avhad di Padegaon pada harga 270,000 rupee (RM11,500). Avhad seterusnya menyerahkan bayi itu kepada seorang individu yang didakwa doktor palsu, Suresh Guntuka pada harga 350,000 rupee (RM15,000).

Bayi berkenaan akhirnya dijual kepada Uma Khatkam yang tinggal di Hyderabad pada harga sama. Susulan itu, polis ke Hyderabad untuk menyelamatkan bayi berkenaan dan berusaha membawanya pulang ke Maharashtra. Setakat ini, polis telah menahan tujuh individu termasuk ibu bapa bayi berkenaan.

Iklan

Pihak berkuasa turut merampas dua telefon bimbit baharu dan rantai emas yang dibeli pasangan itu menggunakan wang hasil menjual bayi mereka.

Siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada orang tengah termasuk doktor palsu itu pernah terlibat dalam urus niaga serupa. - Agensi