KOTA KINABALU - Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo yang dilaporkan hanyut dibawa arus di Sungai Kinabatangan pada Rabu lalu, ditemukan dalam keadaan cedera tanpa kedua-dua gading.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, bangkai gajah jantan itu ditemukan di Sungai Kinabatangan berhampiran Ladang Angco Jaya dan Lot 4, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan.
Katanya, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah pada awalnya menerima laporan mengenai seekor gajah mati di sungai berhampiran Ladang Pontian sebelum Rapid Response Team (RRT) dan Renjer Hidupan Liar Kehormat dari Sukau menjalankan pemeriksaan.
"Bangkai gajah itu kemudian ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera daripada Ladang Angco Jaya bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan.
"Hasil pemeriksaan, bangkai haiwan tersebut dikenal pasti sebagai gajah jantan, berketinggian kira-kira 1.8 meter dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun. Berdasarkan keadaan bangkai, ia dianggarkan telah mati kira-kira empat hingga lima hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Jafry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau berkata, pemeriksaan turut mendapati beberapa kecederaan pada gajah berkenaan selain kedua-dua gadingnya hilang.
"Penemuan itu kini menjadi sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan JHL Sabah.
"Pada peringkat ini, kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian.
"Perkara ini memerlukan siasatan lanjut dan perlu disokong dengan bukti," katanya.
Punca kematian
Menurutnya lagi, bedah siasat dijalankan JHL pada Khamis dengan sampel organ dan kandungan perut gajah berkenaan diambil untuk analisis makmal.
"Pada peringkat ini, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan. Kita masih menunggu keputusan makmal serta hasil penuh bedah siasat.
"Saya telah mengarahkan JHL Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan yang menyebabkan kehilangan gading.
"Jabatan juga sedang mengambil keterangan daripada individu yang pertama melaporkan kejadian itu sebagai sebahagian daripada siasatan susulan," katanya.
Jafry berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur campur tangan manusia atau pelanggaran undang-undang hidupan liar.
Sementara siasatan diteruskan, beliau meminta kerjasama orang ramai bagi membantu JHL Sabah mendapatkan gambaran penuh mengenai kejadian itu.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil dan melaporkannya kepada jabatan dengan segera.
"Kita perlu membenarkan JHL melengkapkan siasatan dan mendapatkan keputusan makmal dan jangan membuat sebarang spekulasi mengenai punca kematian sehingga penemuan saintifik dan siasatan selesai.
"Perlindungan hidupan liar Sabah merupakan tanggungjawab yang kita pandang serius dan kejadian seperti ini mesti disiasat secara menyeluruh serta berasaskan bukti," katanya.