Semua perlu usaha bina generasi berintegriti untuk Malaysia lebih baik - Hiro Tan

Iklan
Hiro Tan (tengah) menyokong gerakan Rasuah Busters dan berharap usaha bersama hampir 600 rakan gabungan yang berkongsi matlamat serta misi yang sama dapat terus diperkukuh.

KUALA LUMPUR – Usaha membentuk generasi yang teguh dengan nilai integriti merupakan proses jangka panjang yang perlu digalas oleh semua ahli masyarakat.

Pengasas dan Pengarah Urusan Rotiboy Bakeshoppe Sdn Bhd, Hiro Tan berkata, jika semua pihak mengambil tanggungjawab, tidak mustahil kita boleh mewariskan Malaysia yang lebih baik, bersih daripada rasuah dan harmoni untuk anak cucu nanti.

Iklan
Iklan

“Saya sangat berharap dapat melihat sebuah masyarakat yang lebih berintegriti, berani menolak perbuatan salah dan sentiasa memilih jalan yang benar dalam 30 tahun lagi.

“Nilai ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah supaya generasi akan datang mempunyai asas yang kukuh untuk berdepan cabaran kehidupan tanpa mudah mengorbankan prinsip.

Iklan

“Di Rotiboy, integriti adalah nilai teras yang perlu ada dalam diri setiap pekerja. Syarikat baru-baru ini mengadakan kem kepimpinan untuk kakitangan yang berteraskan integriti,” katanya kepada Rasuah Busters pada Khamis.

Beliau turut menyokong gerakan Rasuah Busters dan berharap usaha bersama hampir 600 rakan gabungan yang berkongsi matlamat serta misi yang sama dapat terus diperkukuh.

Iklan

“Dengan usaha dan kesedaran yang berterusan, mudah-mudahan suatu hari nanti kita dapat membina masyarakat yang mampu berdikari, membuat pilihan yang betul dan tidak perlu bergantung atau terlibat dalam sebarang amalan yang tidak wajar,” katanya yang turut menyatakan komitmen kebersamaan dalam gerakan Rasuah Busters.

Tambah beliau lagi, dalam realiti kehidupan hari ini untuk mempertahankan nilai integriti bukan sesuatu yang mudah terutama apabila seseorang berdepan pilihan antara berpegang kepada prinsip atau berkompromi demi mencapai sesuatu yang diinginkan.

Katanya, setiap individu perlu menyedari harga yang perlu dibayar bagi kedua-dua pilihan tersebut.

“Kita kena pertimbangkan sama ada mahu berpegang kepada nilai atau berkompromi untuk mencapai apa yang kita perlukan.

"Ada kos untuk berkompromi dan ada juga kos untuk berpegang kepada nilai yang kita mahu pertahankan,” katanya.