Soalan
Kucing saya baru keluar dari bekas pasir dan ia berjalan-jalan di dalam rumah. Apakah lantai rumah saya menjadi najis disebabkan perbuatan kucing itu?
Jawapan
Situasi ini mungkin biasa berlaku bagi sesiapa yang memelihara kucing di dalam rumah.
Selepas membuang air di dalam bekas berpasir, kucing akan mengambus najisnya menggunakan kaki sebelum keluar dan berjalan pula di sekitar rumah.
Persoalannya, apakah lantai, sofa, karpet atau tempat yang dipijak kucing itu dianggap najis?
Jawapannya tidak, ini kerana kita tidak boleh terus menghukum sesuatu tempat sebagai bernajis hanya kerana kucing yang datang dari tempat ia membuang najis.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kucing itu bukan najis. Ia termasuk dalam haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Oleh itu, keberadaan kucing di dalam rumah atau perbuatannya berjalan di atas lantai tidak menyebabkan sesuatu tempat itu menjadi najis.
Jabatan Mufti Selangor ketika ditanya soalan hampir sama juga menyatakan sedemikian.
Keadaannya berbeza sekiranya dengan jelas kita melihat najis melekat pada kaki kucing tersebut dan tempat ia berjalan juga mempunyai kesan najis.
Dalam hal ini, tempat yang dipijak kucing dan mempunyai najisnya, di situlah tempat yang wajib dibasuh.