Trump dakwa miliki IQ tinggi, diwarisi daripada bapa saudara

Iklan
Donald Trump - Foto: AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa beliau mempunyai antara tahap IQ tertinggi dan mengaitkan perkara itu dengan faktor genetik daripada keluarganya, khususnya mendiang bapa saudaranya, Dr John Trump, yang pernah menjadi profesor di Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Trump membuat kenyataan itu dalam wawancara bersama majalah TIME pada 28 September lalu ketika menjawab soalan berkaitan kepercayaannya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman.

Iklan
Iklan

Beliau kemudian mengalihkan perbualan kepada latar belakang keluarganya dan berkata: “Saya mempunyai IQ tertinggi. Saya baik-baik sahaja dan memahami perkara itu.”

Trump turut menyebut bahawa bapa saudaranya berkhidmat di MIT selama 41 tahun sebelum mengaitkan kecerdasan dengan faktor genetik.

Iklan

“Bapa saudara saya berada di MIT selama 41 tahun dan saya percaya pada genetik,” katanya.

Dr John Trump sememangnya tokoh akademik dan kejuruteraan yang mempunyai hubungan lama dengan MIT.

Iklan

Beliau merupakan profesor kejuruteraan di institusi itu serta dikenali menerusi penyelidikan dalam bidang radiasi dan aplikasinya dalam perubatan, industri serta fizik atom.

Beliau meninggal dunia pada 1985 dan dianugerahkan National Medal of Science oleh Presiden Ronald Reagan pada 1983, antara pengiktirafan tertinggi Amerika Syarikat bagi sumbangan dalam bidang sains.

Kenyataan Trump mengenai hubungan antara IQ dirinya dan bapa saudaranya bukan kali pertama beliau mengaitkan pencapaiannya dengan faktor keturunan.

Pada 2016, ketika berkempen untuk pilihan raya Presiden AS, Trump pernah memuji Dr John Trump sebagai individu yang mempunyai ' gen yang sangat baik' selain menyifatkannya sebagai sangat bijak.

Trump turut pernah berkongsi gambar hitam putih bapa saudaranya ketika berada di MIT menerusi media sosial pada 2024, sambil merujuk kepada tempoh perkhidmatannya di institusi berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan Trump bahawa kecerdasan dirinya berpunca daripada bapa saudara secara genetik mencetuskan reaksi di media sosial, dengan sebahagian pengguna mempersoalkan kaitan langsung antara kecerdasan seseorang dengan saudara sebelah ibu atau bapa.

Trump sebelum ini juga pernah mendakwa Dr John Trump pernah mengajar Theodore Kaczynski, individu yang kemudian dikenali sebagai Unabomber.

Dakwaan itu bagaimanapun tidak tepat. Kaczynski memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Harvard sebelum melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti Michigan.

Kenyataan terbaharu Trump itu dibuat ketika beliau turut membincangkan pelbagai isu dalam wawancara TIME, termasuk kecerdasan buatan (AI), perang di Iran, media dan perubahan yang dilakukannya di Washington. - Agensi