JOHOR BAHRU – Cubaan menyeleweng sebanyak 23,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM949,160 berjaya digagalkan apabila seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di Jalan Penaga, Taman Kota Puteri, Masai dekat sini pada Khamis.
Dalam operasi kira-kira jam 11.45 pagi itu, suspek berusia 50 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengedar ditahan menerusi Ops Taring Landai.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, operasi dijalankan oleh Unit Risik Marin (URM) selepas menerima maklumat awam mengenai dua lori dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang disaksikan oleh pemandu kenderaan terbabit menemukan sejumlah minyak diesel disimpan di dalam tangki petak (square tank) di bahagian belakang lori.
“Hasil soal siasat awal dan pandu arah yang diberikan suspek kemudian membawa pasukan polis kepada penemuan tiga lagi lori yang diletakkan di tepi jalan berhampiran premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kesemua lima lori terbabit telah dirampas bersama peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
“Tangkapan serta semua barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Noor Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.