KUALA LUMPUR - Dua daripada lima lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki menyeludup 240 kilogram (kg) syabu, Rabu lepas, dikesan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 37 dan 39 tahun yang berasal dari Kedah itu masing-masing memiliki tiga serta satu rekod lampau bersabit kesalahan narkotik.
"Tiga lelaki lain masing-masing berusia 34, 38 dan 40 tahun tidak mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi.
Hussein berkata, semakan mendapati kesemua lima lelaki terbabit memasuki Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah antara 24 Oktober hingga 9 November lepas.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung tangkapan tersebut daripada Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Thailand yang melancarkan operasi bersama-sama Polis Metropolitan Division 7, Polis Diraja Thailand (RTP) dengan kerjasama tentera dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) di empat lokasi.
Hussein berkata, operasi berkenaan digerakkan susulan risikan berhubung aktiviti sindiket penyeludupan dadah jenis syabu yang beroperasi merentasi sempadan Malaysia-Thailand.
"Dalam serbuan pertama di wilayah Prachuap Khiri Khan, dua lelaki Malaysia ditahan dan 120 kg syabu dirampas daripada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna hitam.
"Serbuan kedua pula berjaya merampas 120 kg syabu yang disembunyikan dalam sebuah lagi Toyota Alphard hitam,” katanya sambil menambah dua wanita warga Thailand berusia 24 dan 25 tahun turut ditahan dalam operasi itu.
Beliau berkata, JSJN Bukit Aman menerusi kontinjen Kedah dan Perlis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memperluas siasatan kes berkenaan.
"Kita sedang mendapatkan kerjasama NSB dan RTP bagi memperoleh maklumat lanjut berhubung individu yang ditangkap serta mengenal pasti rangkaian sindiket yang disyaki terlibat di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lima rakyat Malaysia dan dua wanita Thailand ditahan polis negara itu dalam operasi khas membanteras sindiket dadah di Prachuap Khiri Khan dan Bangkok.
Siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati sindiket berkenaan dikendalikan oleh dalang di Malaysia, dengan suspek dijanjikan habuan antara 500,000 hingga satu juta baht (kira-kira RM61,000 hingga RM122,000) bagi setiap penghantaran yang berjaya.- Bernama