Enggan diperiksa PGA, pasangan kekasih ada rekod khalwat cuba rempuh anggota

Iklan
Pasangan kekasih memecut kereta sehingga cuba merempuh anggota PGA yang mahu menjalankan pemeriksaan membawa padah apabila mereka ditahan dalam operasi di Jalan Kampung Tengah Geting, Tumpat pada Isnin.Foto:PGA

TUMPAT - Tindakan nekad pasangan kekasih memecut kereta sehingga cuba merempuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mahu menjalankan pemeriksaan membawa padah apabila mereka ditahan dalam operasi di Jalan Kampung Tengah Geting di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA yang menjalankan Op Taring Wawasan pada mulanya mengesan sebuah Proton Satria Neo berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di sekitar Pulau Tengkorak.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, sebaik menyedari kehadiran PGA, pemandu kenderaan berkenaan bertindak memecut sebelum cuba melanggar anggota yang menghampirinya untuk pemeriksaan.

Menurut beliau, anggota kemudian mengejar kenderaan itu sebelum berjaya menahannya di Jalan Kampung Tengah Geting.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita di dalam kenderaan terbabit," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua individu serta kenderaan berkenaan tidak menemukan sebarang barang salah.

Iklan

Bagaimanapun, katanya pemeriksaan terhadap sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 Pro Max milik mereka menemukan beberapa video berunsur lucah yang disimpan di dalam peranti berkenaan.

Kata beliau, kedua-dua individu berusia 22 dan 18 tahun itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya mengaku pasangan kekasih dan berlaku perselisihan faham ketika berada di Pantai Geting sebelum lelaki berkenaan membawa wanita itu ke kawasan Pulau Tengkorak untuk berbincang.

"Mereka turut mengaku pernah ditahan atas kesalahan khalwat oleh Pejabat Agama Tumpat pada Oktober lalu dan dijadualkan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Syariah Tumpat pada 18 November ini," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, pihaknya turut merampas sebuah Proton Satria Neo dan telefon bimbit berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM8,500.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.