KUALA LUMPUR - Seramai 98 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sri Semarak, Setapak di sini hilang punca pendapatan selepas kawasan berkenaan dirobohkan pada Khamis.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai berkata, keadaan itu bukan sekadar menjejaskan operasi perniagaan, malah memberi kesan langsung kepada kehidupan keluarga pengusaha yang bergantung kepada pendapatan harian.
"Semua ada tanggungan, anak masih sekolah, melanjutkan pengajian di universiti malah menanggung ibu bapa yang memerlukan rawatan. Siapa nak tanggung sekarang ini?" katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Jabbar, Jalan Ayer Keroh Dalam di sini.
Hussen berkata, kerajaan digesa segera menyelaras tapak baharu kepada peniaga sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.
"Paling tidak dalam masa tiga bulan ini mereka sudah ada tempat gantian. Kalau kita tak bersungguh-sungguh perkara ini, saya nampak ia boleh berlarutan bertahun lamanya.
"Selain itu, pemaju perlu bantu menyediakan kemudahan asas seperti elektrik, air, jalan raya dan sebagainya bagi membolehkan mereka memulakan kembali kehidupan," katanya.
Bagi Mohd Rizal Mat Tahir, 50, yang menyewa tapak di lokasi berkenaan sejak 2006, dia belum mengetahui hala tuju perniagaannya selepas ini.
Dia yang menjalankan bengkel membaiki kenderaan terpaksa menghentikan tiga pekerjanya yang bergantung kepada perusahaan itu.
"Saya tak tahu lagi macam mana. Hari ini boleh senyum, esok tak tahu macam mana. Bukan saya seorang yang hilang pendapatan, pekerja pun terkesan.
"Penerimaan mereka ketika ini tentulah amat kecewa. Saya berharap mereka ada rezeki dan dapat bersabar," katanya.
Mohd Rizal berkata, statusnya sebagai penyewa membuatkan dia berkemungkinan tidak berpeluang untuk mendapatkan tapak baharu.
Sementara itu, Penyelaras Zon Parlimen Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, perbincangan intensif melibatkan pengusaha, pemaju, agensi kerajaan dan pihak berkaitan telah dijalankan dalam usaha mencari penyelesaian.
Menurut beliau, tiga lokasi telah dikenal pasti untuk dijadikan tapak yang boleh membantu pengusaha meneruskan perniagaan mereka.
"Kawasan tersebut melibatkan dua tapak di mukim Batu dan satu lagi tapak di Cheras yang terletak tidak jauh dari kawasan ini.
"Perkara ini masih memerlukan proses dan tindakan susulan pihak-pihak berkaitan namun, pihak Persatuan dan Ahli Jawatakuasa perlu memuktamadkan pemilihan kawasan ini bagi membantu mempercepatkan proses," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Afdlin Shauki turut menegaskan Surau Al-Jabbar tidak akan disentuh dalam proses pembangunan berkenaan.
Katanya, tapak surau yang disenaraikan secara rasmi oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu akan terus dipelihara untuk kegunaan surau, manakala urusan berkaitan tanah sedang diselaraskan dengan pihak berkuasa agama berkaitan.
"Surau Al-Jabbar bukan sekadar sebuah bangunan tetapi telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dan pengusaha di kawasan ini.
"Jadi saya ingin tegaskan supaya tidak timbul lagi kekeliruan, Surau Al-Jabbar tidak akan disentuh," katanya.
Afdlin berkata, beberapa perkara masih perlu diperhalusi dan diselesaikan.
"Semua pihak diminta memberikan ruang kepada proses berkenaan serta mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan.
"Ini bukan kemenangan satu pihak terhadap pihak yang lain. Ini adalah tentang apa yang boleh berlaku apabila kerajaan, agensi, pemaju, wakil masyarakat dan rakyat sanggup duduk semeja demi mencari penyelesaian," katanya.